Mufti Selangor ingatkan titah Sultan, masjid bukan medan meraih sokongan

23 Okt 2026, 2:30 AM
Mufti Selangor ingatkan titah Sultan, masjid bukan medan meraih sokongan
Mufti Selangor ingatkan titah Sultan, masjid bukan medan meraih sokongan
Mufti Selangor ingatkan titah Sultan, masjid bukan medan meraih sokongan

SHAH ALAM, 23 OKT: Masjid perlu dipelihara sebagai tempat menyatukan dan mendamaikan umat Islam, bukannya dijadikan medan meraih sokongan sehingga mencetuskan perpecahan, seperti yang pernah dititahkan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor.

Mufti Selangor, Dato’ Setia Dr Anhar Opir berkata titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj itu menekankan kepentingan menjaga kesucian masjid serta memastikan tanggungjawab dan amanah ahli masjid dilaksanakan dengan baik.

“Titah Sultan Selangor pada Januari lalu turut menolak penggunaan masjid sebagai tempat meraih sokongan, selaras dengan peranannya sebagai rumah Allah yang perlu dipelihara daripada kepentingan tertentu.

“Masjid adalah tempat untuk menyatukan dan mendamaikan umat Islam, bukannya menjadi medan yang boleh menimbulkan perpecahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk ‘Raja Berdaulat Memayungi Umat’ anjuran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Sharafuddin, malam tadi.

Mufti Selangor, Dato’ Setia Dr Anhar Opir (tengah) ketika Forum Perdana Ehwal Islam sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 22 Oktober 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Mengulas amalan mendoakan Sultan dalam khutbah Jumaat, Anhar berkata amalan itu bukan sekadar lambang kesetiaan rakyat, malah mencerminkan pengharapan agar pemerintah dikurniakan kesihatan dan kekuatan untuk melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.

Menurutnya, doa berkenaan turut mengingatkan umat Islam tentang amanah yang dipikul pemerintah serta hakikat bahawa setiap kekuasaan di dunia akan dipertanggungjawabkan di akhirat.

Beliau turut mengingatkan umat Islam supaya mengamalkan prinsip tabayyun dengan menyemak kesahihan maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya.

“Allah memberikan peringatan keras terhadap perbuatan menyebarkan fitnah, termasuk ancaman azab yang pedih di dunia dan akhirat,” katanya.

Anhar turut menyeru masyarakat supaya menjaga adab ketika menyampaikan maklumat serta mengelakkan penyebaran fitnah yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan institusi pemerintahan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.