PRN Negeri Sembilan dijangka catat peratusan keluar mengundi lebih tinggi

19 Jul 2026, 12:32 PM
PRN Negeri Sembilan dijangka catat peratusan keluar mengundi lebih tinggi

SHAH ALAM, 19 JULAI: Peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 1 Ogos ini dijangka lebih tinggi berbanding PRN Johor susulan corak demografi dan lokasi pekerjaan pengundi yang berbeza di kedua-dua negeri.

Mantan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata antara faktor yang mengekang peratusan keluar mengundi di Johor ialah ramai pengundi berdaftar bekerja di Singapura, situasi yang tidak berlaku secara ketara di Negeri Sembilan.

Beliau turut berkata pengundi muda berusia 18 tahun ke atas yang didaftarkan secara automatik berpotensi mempengaruhi keputusan pilihan raya kerana mempunyai corak pemikiran dan pendedahan maklumat yang berbeza berbanding pengundi tradisional.

“Di Johor baru-baru ini ramai pengundi berdaftar bekerja di Singapura, tetapi di Negeri Sembilan, setakat yang saya maklum tidaklah begitu ramai pengundi bekerja di Singapura atau di tempat lain.

“Parti-parti politik juga perlu mengalu-alukan dan menggalakkan pengundi muda keluar mengundi kerana golongan ini mampu menentukan corak kepimpinan yang hendak dipilih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Hi-Tea Kelab Pesara Muslimah Selangor (KPMS) sempena Hari Pesara 2026, di Kelab Shah Alam, di sini, hari ini.

Abdul Aziz turut menyeru semua parti yang bertanding supaya menggunakan tempoh berkempen sebaiknya dengan menawarkan dasar dan manifesto yang logik serta mampu ditunaikan bagi meraih keyakinan pengundi.

Menyentuh penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan platform digital sepanjang kempen, beliau berpandangan peruntukan undang-undang pilihan raya sedia ada masih relevan untuk mengawal keadaan.

Menurutnya, sehingga kini beliau tidak melihat penggunaan teknologi itu menimbulkan isu besar memandangkan garis panduan berkaitan kempen sudah ditetapkan.

“Setakat ini saya tak nampak masalah, kita dah tentukan sedikit sebanyak garis panduan mengenai perkara-perkara yang tidak boleh disebut dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, beliau menasihatkan pengundi supaya tidak mudah mempercayai setiap maklumat yang tersebar di media sosial atau platform digital tanpa membuat semakan terlebih dahulu.

“Kepada mereka yang melihat dan mendengar, perlu bijaksana menentukan sama ada perkara yang disebut itu betul ataupun tidak sebelum mengubah persepsi masing-masing,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.