Persempadanan bantu wakil rakyat tumpu selesai isu setempat

18 Jan 2026, 1:00 AM
Persempadanan bantu wakil rakyat tumpu selesai isu setempat
Persempadanan bantu wakil rakyat tumpu selesai isu setempat

SHAH ALAM, 18 JAN: Proses persempadanan semula kawasan pilihan raya dapat memastikan jumlah pengundi yang seimbang, sekali gus memudahkan wakil rakyat menjaga kebajikan dan kemudahan awam.

Bagi pekerja swasta Fiqrul Izzat Faidrul Iqmar, 24, proses itu penting untuk kawasan yang luas seperti Rawang, yang mungkin tidak diberi perhatian seimbang terutama di lokasi terpencil.

Berikutan itu, beliau berharap perkara tersebut diteliti sebaiknya pihak berwajib supaya ia dapat diselesaikan sebelum pilihan raya untuk memastikan rakyat benar-benar menerima manfaat.

"Persempadanan semula ini penting seperti kawasan saya di Rawang yang agak besar. Apabila masalah berlaku seperti jalan rosak, fokus hanya di kawasan penduduknya ramai, manakala yang terpencil kurang perhatian.

“Oleh itu, perlu penetapan zon yang lebih kecil atau pengundi seimbang di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya wakil rakyat dapat fokus dalam bantu atau selesaikan pelbagai isu,” katanya.

Pegawai penyelidik Afzan Zainal, 45, berpendapat rakyat tidak perlu khuatir sekiranya kerajaan memutuskan untuk melaksanakan persempadanan semula pada masa akan datang.

Ini kerana, menurutnya, tugas wakil rakyat di sesebuah kawasan akan menjadi lebih mudah dan mereka boleh melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan lebih cekap.

“Jika terlalu besar, mungkin ada kawasan wakil rakyat terlepas pandang dan tidak sempat pergi. Melalui persempadanan semula, saya berharap kemudahan untuk rakyat ditambah baik,” katanya.

Kajian persempadanan semula kali terakhir dilaksanakan pada 2018 dan tertakluk kepada had masa lapan tahun seperti diperuntuk bawah Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebarang kajian baharu hanya boleh dimulakan selepas tempoh itu berakhir, dengan mengambil kira data bancian penduduk dan perumahan yang dijalankan setiap 10 tahun.

Sehubungan itu, isu ketelusan, keterangkuman dan keyakinan awam terhadap SPR dijangka terus menjadi tumpuan menjelang kemungkinan kajian persempadanan semula seterusnya.

Sebelum ini, Pengerusi UMNO Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omardin menegaskan tidak akan menyokong sebarang cadangan persempadanan semula pilihan raya yang boleh menjejaskan kepentingan kawasan majoriti Melayu di negeri ini.

Kebimbangan itu timbul susulan andaian terdapat pihak yang mahu menambah kerusi bukan Melayu menerusi proses persempadanan semula berkenaan.

Beliau menegaskan persempadanan semula perlu dibuat secara menyeluruh melibatkan semua 22 kerusi Parlimen di Selangor dan bukan tertumpu kepada kawasan tertentu sahaja.