Jualan Rahmah Madani diadakan lebih kerap, ringankan beban rakyat

19 Jul 2026, 6:47 AM
Jualan Rahmah Madani diadakan lebih kerap, ringankan beban rakyat

LABUAN, 19 JULAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menganjurkan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) dengan lebih kerap bagi membantu meringankan beban rakyat susulan kenaikan harga barangan, kata Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata PJRM yang menawarkan barangan keperluan pada harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran, kini diadakan sembilan kali sebulan di lokasi terpilih di setiap negeri dan daerah di seluruh negara.

"Kekerapan penganjuran program ini boleh ditingkatkan mengikut keperluan setempat, khususnya di kawasan yang pengguna berdepan harga barangan keperluan yang lebih tinggi," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan fleet card SKDS di Kampung Patau-Patau 2 di sini hari ini.

Armizan berkata KPDN mengakui harga barangan pengguna di Labuan secara amnya lebih tinggi berikutan kos pengangkutan untuk membawa bekalan dari Sabah ke pulau itu.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata kementerian akan meneliti mekanisme yang paling sesuai bagi membantu mengurangkan beban yang ditanggung penduduk Labuan akibat daripada kos pengangkutan yang tinggi.

Beliau berkata cabaran sama dihadapi penduduk di Limbang, Sarawak dan perkara itu akan dikaji bagi mencari penyelesaian jangka panjang dengan kerjasama Kementerian Kewangan.

Bagaimanapun, beliau berkata kementerian turut mengambil kira kebimbangan yang dibangkitkan oleh pengusaha kedai runcit yang mendakwa penganjuran PJRM yang terlalu kerap boleh menjejaskan pendapatan harian mereka.

Justeru, Armizan berkata kekerapan serta lokasi penganjuran program perlu dirancang dengan teliti bagi memastikan keseimbangan antara membantu pengguna mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah dan melindungi sumber pendapatan peruncit tempatan.

"Orang ramai boleh menyemak jadual penganjuran program menerusi Kalendar Program Jualan Rahmah MADANI di portal KPDN," katanya.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.