KUANTAN, 25 OKT: Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di seluruh negara merekodkan 21 juta transaksi pembelian dengan nilai jualan melebihi RM800 juta setakat semalam (24 Okt).
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Fuziah Salleh berkata daripada jumlah itu, Pahang mencatat lebih 1.15 juta transaksi dengan nilai jualan sebanyak RM41.9 juta.
“Karnival Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pula menerima kehadiran lebih 200,000 pengunjung bagi lima siri penganjuran terdahulu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival KPDN dan Kempen Beli Barangan Malaysia Zon Timur di Dataran Sayangi Kuantan, di sini hari ini.
Beliau berkata karnival yang berlangsung dari 24 hingga 26 Okt itu turut berjaya menarik penyertaan 53 usahawan tempatan, menjadikan jumlah keseluruhan 266 usahawan yang telah menyertai siri jelajah Karnival KPDN setakat ini.
Dalam majlis sama, Fuziah turut melancarkan Gula Rahmah, yang akan dijual di semua lokasi PJRM di seluruh negara pada harga RM2.70 sekilogram hasil kerjasama antara kerajaan dan pihak industri bagi memastikan bekalan gula kekal mampu milik.
“Gula Rahmah ini dikeluarkan oleh syarikat tempatan dan dijual di Jualan Rahmah. Kerajaan membelanjakan RM42 juta sebulan sebagai insentif untuk mengekalkan harga gula pada kadar RM2.85 sekilogram di pasaran, namun Gula Rahmah ini dijual tanpa sebarang subsidi,” katanya.
Selain itu, Fuziah memberi jaminan bahawa bekalan barangan keperluan asas di seluruh negara akan mencukupi sepanjang musim banjir melalui langkah membenarkan pemborong menambah kapasiti simpanan stok sehingga 30 peratus daripada had lesen asal.
“Dengan tambahan kapasiti ini, pemborong boleh menyimpan lebih banyak stok bagi memastikan keperluan rakyat tidak terjejas. Dari segi penguatkuasaan, kita juga terus memantau harga melalui pelaksanaan Ops Kesan bagi memastikan harga barangan kekal terkawal,” katanya.







