PUTRAJAYA, 27 OGOS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperluas Program Servis Ihsan MADANI (SIM) dengan penyertaan Perodua dan Proton serta PETRONAS AutoExpert bagi membantu mengurangkan kos penyelenggaraan kenderaan rakyat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata di bawah pelaksanaan SIM 2026 bersempena dengan Bulan Kebangsaan 2026, subsidi RM70 ditawarkan kepada pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan penyelenggaraan di pusat servis Perodua, Proton dan PETRONAS AutoExpert yang mengambil bahagian, tertakluk kepada terma dan syarat.
"Program ini melibatkan keseluruhan 531 pusat servis dan bengkel di seluruh negara, terdiri daripada 221 pusat servis Perodua, 186 pusat servis Proton dan 124 bengkel PETRONAS AutoExpert.
"Pengguna yang ingin mendapatkan manfaat boleh membuat tempahan menerusi aplikasi yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan masing-masing, iaitu aplikasi UFirst Perodua Passport bagi Perodua, Proton Link 2.0 bagi Proton dan Setel bagi PETRONAS AutoExpert," katanya dalam kenyataan hari ini.
Armizan berkata peluasan program di bawah inisiatif Payung RAHMAH MADANI itu antara ikhtiar KPDN bersama rakan strategik industri dalam menterjemahkan semangat “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” melalui inisiatif yang memberi rakyat manfaat secara langsung.
"Selain membantu mengurangkan sebahagian kos penyelenggaraan kenderaan, program ini juga diharapkan dapat menggalakkan pemilik kenderaan melakukan penyelenggaraan secara berkala bagi memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan," katanya.
Terdahulu, Armizan menghadiri Majlis Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM 2026) peringkat KPDN, yang turut diserikan dengan Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) Bulan Kebangsaan, Pertandingan Eksplorasi Rona Batik, Cabaran Patriotik: Aku Kasih Malaysia serta Pertandingan Keceriaan Pejabat HKHM 2026.
Selain inisiatif yang dilaksanakan pada peringkat KPDN, rakan strategik kementerian turut menawarkan manfaat istimewa kepada rakyat bersempena dengan HKHM 2026, antaranya Jualan Ihsan RAHMAH 9.9 secara dalam talian oleh TikTok Shop Malaysia pada 9 Sept ini, dengan menawarkan diskaun antara 10 hingga 30 peratus bagi barangan keperluan terpilih.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata kerajaan akan melancarkan Jualan Ihsan Rahmah 9.9 secara dalam talian (pada 9 Sept ini) bersempena dengan sambutan Hari Malaysia 2026, dengan sokongan pelbagai pihak termasuk kementerian berkaitan bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada jualan berkenaan.







