SHAH ALAM, 9 OKT: Peruntukan bagi program Jualan Rahmah MADANI dan Jualan Agro MADANI ditingkatkan kepada RM750 juta tahun depan, berbanding RM630 juta sebelum ini dengan sasaran 35,000 penganjuran.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata daripada jumlah itu, sebanyak 30,000 penganjuran Jualan Rahmah MADANI akan dilaksanakan di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala 5,000 lagi membabitkan Jualan Agro MADANI.
“Tumpuan Jualan Rahmah MADANI diberikan kepada kawasan desa, perumahan kos rendah dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bandar bagi memastikan lebih ramai penduduk mendapat akses kepada barangan keperluan pada harga berpatutan.
“Penganjurannya turut diperluas melalui kedai runcit dan mesin layan diri, selain Jualan Rahmah MADANI Borong yang bertujuan membantu peniaga kecil,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata Jualan Agro MADANI menawarkan hasil tani segar termasuk ikan, ayam, sayur-sayuran dan buah-buahan pada harga sehingga 30 peratus lebih murah.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata Program Jualan Rahmah MADANI merekodkan hampir 69 juta transaksi di seluruh negara sejak 2024 hingga 30 September 2026.
Menurut Datuk Fuziah Salleh, lebih 28.4 juta transaksi direkodkan sepanjang tahun ini, manakala sebanyak 2,061 rakan strategik turut bersama-sama menjayakan program berkenaan di seluruh negara.







