SHAH ALAM, 18 Julai: Berbeza generasi terdahulu yang sanggup bertahan demi kelangsungan hidup, Generasi Z (Gen Z) lebih mementingkan kesejahteraan mental dan emosi berbanding kestabilan kerjaya.
Menurut kaunselor Hab SEHAT Selangor, faktor itu menyebabkan ramai anak muda tidak keberatan bertukar pekerjaan jika persekitaran tempat kerja menjejaskan kesihatan mental mereka.
Dr Asraf Johar Salleh berkata situasi tersebut sangat berbeza dengan generasi terdahulu yang sanggup melakukan apa jua demi memperoleh pendapatan ekoran peluang pekerjaan lebih terhad.
"Gen Z pula melihat peluang kerja lebih luas. Sebab itu, mereka lebih mengutamakan kesejahteraan mental dan tidak keberatan mencari pekerjaan lain yang lebih sesuai," katanya.

Dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor baru-baru ini, beliau memberitahu perbezaan itu dikesan melalui cara setiap generasi berdepan tekanan di tempat kerja.
"Generasi X dan Y lebih cenderung bertahan walaupun berdepan tekanan kerana mengutamakan jaminan pendapatan. Dari luar mereka kelihatan kuat, namun ramai memendam tekanan.
"Namun, berbeza pula dengan Gen Z yang lebih terbuka meluahkan perasaan dan mengambil tindakan untuk menjaga kesihatan mental mereka yang disifatkan lebih penting," katanya.
Dr Asraf Johar menjelaskan kecenderungan sesetengah Gen Z memilih kerjaya pencipta kandungan atau pempengaruh banyak dipengaruhi keinginan untuk mendapatkan kebebasan dan kepuasan kerja.
"Mereka mahu melakukan sesuatu yang mengembirakan diri dan sesuai dengan minat masing-masing.
Walaupun ada yang mempersoal pilihan itu, mereka percaya kerjaya tersebut mampu memberi kelangsungan hidup jika diuruskan dengan baik," katanya.

Namun, beliau tidak menafikan tekanan kewangan, kos sara hidup dan cabaran di tempat antara faktor utama yang menggugat kesihatan mental Gen Z ekoran mereka membesar zaman kemajuan teknologi dan media sosial.
"Media sosial menjadikan mereka sentiasa melihat pencapaian serta gaya hidup orang lain. Keadaan ini mewujudkan tekanan untuk menjadi setanding dengan rakan sebaya," katanya.
Katanya, peningkatan kos sara hidup dan budaya takut ketinggalan atau FOMO (fear of missing out) menyebabkan ramai anak muda tertekan untuk mencapai kejayaan dan kekayaan dalam masa singkat.
Ibu bapa perlu elak banding antara zaman
Tambahnya, perubahan teknologi, pengaruh media sosial dan tekanan kehidupan masa kini menuntut ibu bapa mengubah pendekatan keibubapaan supaya selari keperluan generasi Z (Gen Z).
Dr Asraf berkata peranan mereka bukan sekadar mendidik, sebaliknya perlu memahami realiti kehidupan seiring perubahan teknologi.
Beliau memberitahu ramai ibu bapa masa kini cenderung membandingkan pengalaman hidup mereka dengan anak sekaligus gagal memahami cabaran sebenar yang dihadapi generasi muda.
"Kita tidak boleh paksa mereka hidup dalam zaman kita kerana setiap generasi mempunyai cabaran berbeza. Yang penting ialah kita memahami dunia mereka dan menggunakan pengalaman kita sebagai panduan, bukannya menjatuhkan hukum," katanya.

Menurut Dr Asraf Johar, ibu bapa tidak boleh menolak kemajuan teknologi, kerana ia sebahagian kehidupan Gen Z dan peranan mereka penting bagi memahami tingkah laku dan keperluan anak.
"Kalau kita tidak faham teknologi, kita sukar memahami anak. Apabila kita selami dunia mereka, baharulah kita tahu bagaimana hendak bantu dan bimbing mereka dengan lebih berkesan," katanya.
Kaunselor itu juga mendedahkan ramai ibu bapa mengadu anak semakin agresif dan sukar dikawal tetapi ia sebenarnya berpunca dari pendekatan cara asuhan yang tidak sesuai perubahan zaman.
Kata Dr Asraf Johar lagi, kesibukan hingga bergantung kepada gajet untuk mengisi masa anak menghakis hubungan kekeluargaan sedangkan kasih sayang tidak boleh diganti wang atau teknologi semata-mata.
"Nilai kasih sayang perlu dizahir secara fizikal kerana banyak masalah sosial termasuk penyalahgunaan dadah dan jenayah remaja bermula apabila anak kurang mendapat perhatian di rumah," katanya.









