SHAH ALAM, 18 MEI: Semakin ramai rakyat Selangor mendapatkan bantuan kesihatan mental menerusi program Sehat yang menyediakan talian kaunseling dan sesi kaunseling komuniti secara percuma.
Program diperkenalkan Kerajaan Negeri itu merangkumi Talian Sehat serta Hab Sehat yang dijalankan setiap minggu di beberapa lokasi seluruh Selangor.
Penyelaras Hab Sehat, Dr Amiera Shakina Mohamad Nadzir berkata saringan terhadap 4,297 pengguna yang mendaftar melalui aplikasi Selangkah sehingga tahun ini menunjukkan permintaan tinggi terhadap sokongan kesihatan mental.
Menurutnya, 12.5 peratus responden mengalami tekanan serius, 18.5 peratus berdepan kebimbangan melampau manakala 6.5 peratus mengalami kemurungan serius.
“Ramai kelihatan baik dari luar tetapi sebenarnya sedang berdepan tekanan emosi yang memerlukan perhatian dan sokongan,” katanya seperti dilapor StarMetro.
Beliau berkata antara tanda awal masalah kesihatan mental termasuk mudah letih, hilang motivasi, sukar mengawal emosi, rasa cemas berlebihan, sukar memberi tumpuan serta cenderung mengasingkan diri daripada hubungan sosial.
Tambahnya, masalah kesihatan mental juga tidak semestinya memerlukan ubat kerana banyak kes boleh dibantu menerusi kaunseling, terapi, perubahan gaya hidup dan sokongan psikososial.

Dr Amiera turut mengingatkan orang ramai agar tidak melabel individu yang berdepan masalah kesihatan mental sebagai lemah atau “generasi strawberi” kerana stigma sedemikian boleh menyebabkan mereka enggan mendapatkan bantuan.
Sementara itu, penyelaras Pusat Kaunseling Selangor (PKS) dan pakar psikologi Megat Syaiful Izzuddin Megat Mokhtar berkata penyediaan bantuan kesihatan mental oleh Kerajaan Negeri membuktikan Selangor bersikap progresif dalam menangani isu berkenaan.
Katanya, sokongan awal mampu meningkatkan kualiti hidup, mengurangkan kos rawatan serta membantu membina komuniti yang lebih sihat.
Dalam perkembangan sama, Penolong Setiausaha Persatuan Kaunselor Malaysia Antarabangsa (Perkama), Dr Aslina Ahmad berkata fasa pertama Hab Sehat dari Oktober 2024 hingga Mac 2025 merekodkan 540 tempahan sesi kaunseling di sembilan lokasi seluruh Selangor.
Menurutnya, majoriti pengguna terdiri daripada wanita berusia antara 20 hingga 40 tahun termasuk pelajar yang mendapatkan bantuan berkaitan tekanan pengajian, kewangan dan tanggungjawab keluarga.
"Lebih 40 peratus sesi pula melibatkan temu janji berulang manakala Hab Sehat dijangka kembali beroperasi bermula 4 Julai hingga 26 Disember ini di 11 lokasi seluruh Selangor," katanya.
Sementara itu, EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata peruntukan program Sehat meningkat daripada RM700,000 pada 2025 kepada RM1.5 juta tahun ini bagi memperluaskan akses bantuan kesihatan mental kepada rakyat Selangor.
Katanya, Kerajaan Negeri berharap program itu dapat berkembang sebagai model intervensi kesihatan mental peringkat negeri yang bukan sahaja memberi fokus kepada rawatan, tetapi juga pencegahan dan pendidikan awam.








