KUALA LUMPUR, 29 NOV: Kesejahteraan emosi pelajar bukan sahaja bergantung pada pembelajaran di bilik darjah malah turut dipengaruhi oleh keharmonian keluarga, kefahaman ilmu psikologi serta penghayatan nilai agama dan moral.
Pakar berpandangan pendidikan kesihatan mental di sekolah wajar dilaksanakan secara bersepadu dengan menekankan aspek pencegahan awal selain mengelakkan pendekatan yang bersifat menghukum.
Timbalan Pengarah Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Naemah Hamzah berkata terdapat banyak kes tekanan emosi berlaku di sekolah lazimnya berpunca daripada persekitaran di rumah yang merupakan akar umbi dalam membentuk daya tahan emosi seseorang.
"Apabila institusi keluarga dan rumah tidak berfungsi dengan baik, suasana yang tidak sihat menjadi beban berganda kepada pelajar sama ada akibat konflik rumah tangga, pengabaian emosi, masalah kewangan atau jangkaan akademik yang melampau.
"Sekolah membantu mengesan awal (perkara ini) melalui aspek sosial pelajar, tetapi keluarga yang membentuk asas harga diri serta daya tahan psikologi sejak kecil," katanya ketika dihubungi Bernama.
Naemah mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu lepas yang bersetuju dengan cadangan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memasukkan elemen pendidikan kesihatan mental dalam kurikulum sekolah bagi membimbing dan membantu pelajar mengurus tekanan dengan lebih baik.
Perdana Menteri berkata pendekatan pengajaran berkaitan kesihatan mental perlu dirangka secara berhemah dan menarik agar dapat meningkatkan minat serta penghayatan pelajar.
Mengulas lanjut, Naemah berkata usaha memupuk literasi kesihatan mental di sekolah kurang berkesan jika ibu bapa masih dibelenggu stigma dan melabel emosi anak sebagai 'lemah semangat' atau 'manja', yang mungkin menunjukkan percanggahan mesej antara di rumah dan sekolah.
Beliau berkata cadangan mewajibkan kursus keibubapaan atau kaunseling keluarga perlu bersifat menyokong dan memulihkan, bukan menghukum sehingga mencetuskan sikap defensif selain mengambil kira kekangan masa dan kos .
"Bagi membina kepercayaan anak agar mereka tidak memendam masalah atau meluahkannya di media sosial, ibu bapa perlu meluangkan masa dan menjadi pendengar yang setia serta tidak terlalu cepat menghukum dan mengelak membandingkan anak atau membuka aib mereka," katanya.
Sementara itu, Pakar Psikologi (Industri dan Organisasi) yang juga Timbalan Dekan (Akademik dan Hal-Ehwal Pelajar), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM Prof Dr Siti Aisyah Panatik berkata pendidikan kesihatan mental perlu diperkasa secara lebih sistematik dan berstruktur.
Merujuk dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022, beliau berkata sebanyak 26.9 peratus remaja menunjukkan simptom kemurungan berbanding 17.7 peratus pada 2012, sekali gus membuktikan keperluan intervensi awal dan pencegahan.
"Nilai murni dan kerohanian adalah faktor pelindung penting untuk membina makna hidup, harapan dan kekuatan dalaman, namun kesihatan mental melibatkan aspek biologi, psikologi, sosial serta kerohanian yang perlu digandingkan dengan kemahiran psikologi praktikal seperti regulasi emosi dan pengurusan tekanan.
"Kita juga perlu mengelakkan tanggapan bahawa masalah kemurungan atau kebimbangan berpunca daripada kelemahan iman semata-mata kerana stigma itu boleh menghalang pelajar mendapatkan bantuan profesional," katanya.
Sehubungan dengan itu, Siti Aisyah menekankan kepentingan pembangunan Kerangka Pendidikan dan Kesejahteraan Mental Pelajar Kebangsaan menerusi pendekatan biopsikososial-kerohanian melibatkan kerjasama rentas kementerian termasuk KPM, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tanpa menambah subjek peperiksaan baharu.
Beliau berkata kerangka kebangsaan itu penting bagi memastikan pelaksanaannya di sekolah tidak bersifat terpisah atau bermusim, sebaliknya mempunyai hala tuju jelas yang menghubungkan pendidikan di bilik darjah dengan intervensi awal serta sokongan keluarga.
Beliau pada masa sama menyarankan agar penggubalan Akta Psikologi Malaysia disegerakan bagi mengawal selia amalan profesional psikologi di negara ini, sekali gus melindungi pelajar serta orang awam daripada perkhidmatan tidak bertauliah.
"Penggubalan akta ini penting bagi menjamin perkhidmatan psikologi yang ditawarkan adalah beretika, selamat, berkualiti dan berasaskan bukti saintifik apabila keperluan saringan serta rujukan pelajar semakin meningkat kelak," katanya.






