Gen Z bersama falsafah

18 Jul 2026, 7:00 AM
Gen Z bersama falsafah

Allah memang bersama Gen Z tetapi generasi muda mesti bersama kesedaran falsafah. Sebabnya, sewaktu muda, kita cenderung untuk mempersoal banyak perkara di sekeliling kita.

Banyak hal kita tidak faham dan ingin tahu. Kita bertanya, cuba memahami dan suka pula mengkritik. Ada kala kita bingung dan membuat telahan yang salah.

Namun generasi muda boleh menyelami kesilapan berfikir dengan mempelajari falsafah dan meneroka asas berfikir. Sebabnya, kita bukan berfikir untuk memproses maklumat di sekeliling kita.

Kita juga perlu berfikir tentang asas dan proses itu sendiri. Misalnya, apa itu pemikiran? Bagaimana kita tahu kita ini sedang berfikir? Apa yang mendorong kita berfikir?

Apakah kita ini sedar dan mampu memproses maklumat? Bagaimana kita tahu kita ini sedar? Kita perlu berfikir menggunakan bahasa atau tidak perlu? Apa itu bahasa? Bagaimana ia muncul?

Apa itu maklumat yang kita hendak fikirkan? Apa itu ilmu yang sampai ke dalam fikiran kita? Bagaimana kita wujud dan apa itu kewujudan? Kita tahu ada nilai baik dan buruk. Tetapi apa itu nilai? Apa itu adil, zalim, baik, buruk, Islamik atau sekular.

Mesin taip dan potret gergasi yang terdapat di Teratak Za'ba di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, diuruskan oleh Lembaga Muzium Negeri Sembilan. Pendeta Za’ba cukup dikenali sebagai seorang sasterawan, ahli bahasa, ahli falsafah, tokoh politik dan pemikir ekonomi yang banyak memberi sumbangan besar kepada kemajuan bangsa dan negara. Foto: BERNAMA

Bagaimana manusia merumuskan persoalan-persoalan ini? Jarang manusia mahu berfikir pokok persoalan ini kerana, mungkin, dianggap tiada manfaat segera.

Tetapi al-Quran sangat menggalakkan manusia berfikir. Kira-kira 750 ayat al-Quran menagih kita berfikir tentang alam, sejarah, manusia dan kitab suci itu sendiri, kata bekas profesor perundangan Islam, Mohammad Hashim Kamali.

Namun al-Quran juga mengingatkan kita bahawa kebanyakan manusia tidak berfikir.

Jadi mungkin benarlah meme "Allah bersama Gen Z" tetapi Dia mahu anak muda, sejak awal, menggunakan akal. Malah, kata bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu lagi, Allah melarang kita mengikut membuta tuli dan terjerumus dalam nafsu.

Sebaliknya al-Quran menggalakkan manusia mengejar hikmah atau kebijaksanaan, tingkat yang lebih tinggi daripada pengetahuan teknikal tentang sesuatu perkara.

Sebanyak 20 kali perkataan hikmah disebut dalam al-Quran dan separuh daripadanya selepas menyebut kitab suci (al-Quran dan tiga lagi kitab wahyu).

Ayat 269 surah al-Baqarah menjelaskan dengan padat (terjemahan): "Allah memberikan hikmah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu, maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikiran."

Bertepatan pula dengan pesan Rasulullah: "hikmah itu harta yang hilang daripada orang beriman. Dialah yang paling layak memilikinya di mana jua dia menemuinya" (hadis riwayat at-Tirmidzi).

Hikmah dan falsafah itu dua perkataan yang berdekatan. Falsafah maknanya cintakan kebijaksanaan (atau hikmah dalam bahasa Arab). Dalam bahasa Inggeris, ia disebut philosophy, gabungan dua kata Greek: philos (cinta) dan sophia (kebijaksanaan). Perkataan falsafah (bahasa Arab) meminjam istilah Greek ini.

Namun, jika kita bertanya, apakah pasti memahami falsafah atau berfikir dengan ilmu falsafah menjadikan kita bijaksana?

Kajian bertajuk "Studying Philosophy Does Make People Better Thinkers" (Journal of the American Philosophical Association, Disember 2025) mendapati:

"[Penyelidik] meneliti pencapaian pelajar falsafah dalam ujian penaakulan lisan dan logik, serta ukuran pembawaan intelektual yang bernilai.

"Hasil kajian menunjukkan bahawa pelajar yang mempunyai keupayaan lisan yang lebih tinggi, serta lebih ingin tahu, berfikiran terbuka, dan teliti secara intelektual, lebih cenderung untuk mempelajari falsafah.

"Bagaimanapun, selepas mengambil kira perbezaan asas tersebut, pelajar jurusan falsafah mengatasi semua jurusan lain dalam ujian penaakulan lisan dan logik serta dalam ukuran tabiat pemikiran yang bernilai.

"Hal ini memberikan bukti paling kukuh setakat ini bahawa mempelajari falsafah sememangnya menjadikan seseorang pemikir yang lebih baik."

Hasil kajian ini menyimpulkan: 1. belajar falsafah itu bagus, dan 2. mendalami jurusan falsafah lebih bagus.

Maka, jika kita mahu bijaksana dan berfikir teliti, sekurang-kurangnya kita boleh mengambil langkah pertama: belajar falsafah. Tetapi apakah sukar?

Tidak terlalu susah jika kita rajin membaca dua karya ini: Thinking, Fast and Slow (Daniel Kahneman, pemenang Hadiah Nobel) dan A Little History of Philosophy (Nigel Warburton).

Buku kedua sudah diterjemah dengan judul Sejarah Ringkas Falsafah terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) yang dibiaya oleh Kerajaan Selangor.

Semoga Allah sentiasa bersama Gen Z yang ada kesedaran falsafah.

Kategoripendapat

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.