SHAH ALAM, 17 JULAI: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan seluruh Selangor sehingga jam 9 malam ini.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan amaran sama turut dikeluarkan bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Selain itu, cuaca buruk dijangka melanda Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan.
Di Pantai Timur, kawasan terlibat ialah Jeli, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang di Kelantan, selain Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman di Terengganu.
Bagi Pahang, amaran melibatkan Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan, Bera dan Pekan.
Di Sarawak, kawasan yang dijangka terjejas ialah Bukit Mabong dan Belaga di Kapit, Beluru, Telang Usan, Miri serta Marudi di Miri, selain Limbang.
Sementara itu, di Sabah, amaran melibatkan Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan di Pedalaman, Papar dan Ranau di Pantai Barat, Telupid dan Beluran di Sandakan serta Kudat. Wilayah Persekutuan Labuan turut berada dalam kawasan amaran.
Menurut MetMalaysia, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang sedang berlaku atau dijangka berterusan melebihi sejam.
Katanya, amaran itu merupakan amaran jangka pendek yang sah bagi tempoh tidak melebihi enam jam untuk setiap keluaran.






