SHAH ALAM, 17 JULAI: Warga emas sekitar Rawang dijemput hadir mendapatkan vaksin influenza secara percuma pada 8 Ogos depan bertempat di gelanggang bola keranjang, Kampung Sungai Terentang.
Wakil rakyat Rawang Chua Wei Kiat berkata bermula 9 pagi hingga 12 tengah hari, individu berumur 50 hingga 59 tahun juga boleh mendapatkan suntikan vaksin influenza dengan bayaran RM5 pada program itu.
“Selain itu, saringan kesihatan percuma juga disediakan termasuk pemeriksaan Indeks Jisim Tubuh (BMI) dan tekanan darah.
“Selain itu, mereka yang hadir turut berpeluang memerikaa paras glukosa dan kolestrol dalam darah. Marilah jaga kesihatan bersama,” katanya.
Sebelum ini, kanak-kanak berumur lapan tahun ke bawah daripada keluarga B40, khususnya yang mempunyai penyakit kronik berpeluang mendapatkan vaksin influenza percuma menerusi Program Vaksin Anak Selangor (SELVAKSIN) anjuran Kerajaan Negeri.
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor memaklumkan mengingatkan ibu bapa atau penjaga untuk merujuk senarai klinik panel mengikut daerah termasuk di Petaling, Klang, Gombak dan Hulu Langat untuk menetapkan janji temu.








