SHAH ALAM, 25 NOV: Ibu bapa digesa lebih cakna terhadap usaha Kerajaan Selangor menyediakan vaksin influenza percuma kepada murid sekolah dengan memastikan anak-anak hadir mendapatkan suntikan tersebut.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata Kerajaan Selangor telah melaksanakan tanggungjawabnya, dan kini peranan ibu bapa adalah memastikan anak-anak menerima manfaat program ini.
Beliau menegaskan langkah itu penting kerana bukti perubatan menunjukkan imunisasi awal dapat melindungi kanak-kanak daripada komplikasi serius akibat jangkitan influenza.

“Langkah Kerajaan Selangor memberikan suntikan percuma amat dialu-alukan. Saya menggalakkan ibu bapa dan penjaga mengatur masa serta ruang untuk membawa anak-anak mendapatkan vaksin.
“Jangan abaikan vaksin ini atau terpengaruh dengan pandangan tidak berasas. Vaksin meningkatkan daya tahan anak-anak dan lebih baik diambil sebagai langkah pencegahan daripada menunggu sehingga jatuh sakit,” katanya kepada Media Selangor.
Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali turut menyambut baik cadangan Kerajaan Selangor menilai peluasan program vaksinasi influenza ke lima lagi daerah pada tahun depan, bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati pelajar di seluruh negeri.
“Ini langkah wajar. Penjagaan lebih baik daripada pemulihan. Semua penerima yang layak digalakkan mengambil peluang imunisasi percuma ini.,” katanya.
Semalam, EXCO Kesihatan Awam, Jamaliah Jamaluddin, memaklumkan Selangor akan menilai keperluan peluasan program ke lima lagi daerah tahun depan, berdasarkan penilaian situasi semasa oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS). Peluasan itu dijangka memberi tumpuan kepada kumpulan dan kawasan keutamaan berdasarkan data yang diperoleh.
Kerajaan Negeri sebelum ini memperkenalkan Program Vaksin Anak Selangor (SELVAKSIN) bermula 10 November lalu, melibatkan daerah Petaling, Klang, Gombak dan Hulu Langat. Program ini menawarkan suntikan vaksin influenza percuma kepada kanak-kanak berisiko tinggi sebagai langkah pencegahan awal bagi melindungi kesihatan golongan muda di negeri ini.
Menurut kenyataan SELGATE Healthcare, program ini terbuka kepada kanak-kanak berumur lapan tahun ke bawah yang mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit kronik atau komorbiditi. Penerima juga mesti berasal daripada keluarga B40 dengan pendapatan isi rumah RM5,250 ke bawah dan telah menetap di Selangor sekurang-kurangnya 10 tahun.
Antara lokasi pemberian vaksin termasuk Selgate Specialist Hospital Rawang serta enam cawangan terpilih Selcare Clinic di UNISEL Shah Alam, Putrajaya, Puchong, Kota Damansara dan SkyPark Subang.




