SHAH ALAM, 17 JUL: Kecerdasan buatan (AI) sebenarnya tidak menggantikan peranan pekerja semasa sebaliknya mereka berisiko diganti pekerja yang menguasai teknologi tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC), Dr Harizal Hamid berkata AI sebenarnya meningkatkan lagi kemahiran pekerja sedia ada kepada peranan yang lebih kompleks.
“Banyak sektor bergantung kepada implementasi digital akan mengalami transformasi. Ia bukan terkesan sebenarnya, ia lebih kepada transformasi ke arah penggunaan AI dengan lebih meluas.

“Sebenarnya AI tidak menggantikan pekerja semasa, pekerja semasa cuma diganti oleh pekerja yang menguasai AI. Itu naratif yang kita perlu betul-betul faham,” katanya kepada Media Selangor.
Mengakui sektor digital dan teknologi maklumat paling terkesan akibat ledakan teknologi itu, beliau juga mengingatkan hampir semua bidang lain turut terlibat dalam penggunaan digital.
“Sektor paling terkesan pastinya sektor digital yang melibatkan penggunaan digitalisasi tetapi kalau kita lihat sekarang ini, sektor mana tidak terlibat dengan implementasi digital?” katanya.
Dr Harizal menjangka sebahagian besar pekerjaan akan digantikan AI dan wujud peluang pekerjaan baharu sebagai pengurus ejen AI bagi mengurus dan mengawal teknologi itu menjelang tahun 2035.
Justeru, bekas pensyarah di Universiti Selangor (UNISEL) itu menasihati golongan muda supaya mempersiap diri atau menambah kemahiran dan ilmu baharu khususnya AI.
“Kita lebih memerlukan golongan tenaga mahir yang mampu menguasai dan mengawal teknologi digital ataupun AI itu sendiri. Kita tidak kehilangan kerja kepada AI tetapi kita akan hilang pekerjaan kepada golongan yang lebih menguasai AI.
“Sebab itulah pendidikan salah satu daripada naratif dan juga perkara utama kita, bahawa literasi digital perlu diberi pendekanan secara komprehensif kepada masyarakat,” katanya.
Selain itu, beliau percaya Malaysia berupaya menjadi hab bakat bagi pembangunan AI di Asia Tenggara melalui pelaksanaan dasar yang menyokong setiap inovasi teknologi baharu dunia.
Katanya, pelan tindakan strategik nasional menjelang 2030 giat dibangunkan dan disokong pelaburan infrastruktur berskala besar, pembangunan rangka kerja tadbir urus AI dan inisiatif kemahiran.
“Kita bebas untuk berinovasi, untuk cipta platform dan peluang baharu. Jadi, dengan apa yang kita sudah laksanakan ini, tidak mustahil Malaysia jadi dominasi dalam menghasilkan bakat jurubina-jurubina AI,” katanya.








