Lenyapkan jurang celik digital, tiada golongan tercicir

16 Jul 2026, 3:00 AM
Lenyapkan jurang celik digital, tiada golongan tercicir
Lenyapkan jurang celik digital, tiada golongan tercicir

SHAH ALAM, 16 JUL: Kerajaan perlu mencari penyelesaian bagi melenyapkan jurang celik digital bagi memastikan tiada golongan tercicir bagi menjayakan matlamat ke arah negara AI menjelang 2030.

Dekan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Ts Dr Mohd Naz’ri Mahrin berkata tumpuan perlu diberi kepada pembangunan bakat, infrastruktur dan pendigitalan perkhidmatan awam tanpa mengira demografi.

“Sebagai permulaan, kerajaan perlu tumpu untuk memajukan kemudahan internet secara menyeluruh di semua lokasi. Selepas itu, teknologi AI perlu diperluas kepada semua tanpa mengira latar belakang.

Perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) berisiko lebarkan jurang gender di Malaysia. Foto AI (gambar hiasan)

“Kerajaan juga boleh bantu dengan sediakan insentif atau pakej subsidi untuk mereka langgan kemudahan aplikasi AI. Mungkin boleh laksana perkara ini seperti subsidi bersasar,” katanya.

Beliau juga mengajak golongan belia untuk melengkapkan diri dengan kemahiran celik digital selain memperkukuh kemahiran insaniah (soft skills) seperti pemikiran kritis dan kreativiti.

Katanya, golongan pekerja juga digalakkan menyertai inisiatif pembelajaran sepanjang hayat bagi memastikan mereka kekal relevan dalam pasaran kerjaya bagi mendepani revolusi AI.

Dr Mohd Naz’ri menjangka dunia akan menawarkan peluang kerjaya lebih kompleks manakala pekerjaan bersifat rutin atau berulang berkemungkinan terjejas dan digantikan aplikasi AI.

“Generasi muda perlu ada pemikiran untuk pembelajaran sepanjang hayat dan jadikan ia sebagai cara hidup. Kita tidak mahu lagi mereka anggap belajar ini hanya sebahagian fasa kehidupan.

“Pada masa akan datang, produktiviti dan kecekapan akan jadi keutamaan dalam pekerjaan. Kalau kita tidak sinergi dengan AI, kita akan digantikan dengan teknologi itu,” katanya lagi.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.