SHAH ALAM, 9 OKT: Peralihan kepada membeli-belah dalam talian yang pesat mengubah corak orang ramai berbelanja dan menyebabkan pusat beli-belah, hartanah komersial dan sektor peruncitan terjejas.
Menurut Pakar Ekonomi Prof Madya Dr Barjoyai Bardai, perubahan itu mengurangkan permintaan ruang fizikal, mengubah jenis pekerjaan, peranan pusat beli-belah dan fungsi pusat bandar.
Walaupun kos operasi turun dan harga barangan lebih murah dalam jangka panjang, beliau berkata peralihan tersebut membawa kesan rantaian meliputi pelbagai aspek dan bidang.
“Apabila permintaan untuk perniagaan runcit jatuh, permintaan untuk premis seperti kedai dan kompleks beli-belah juga akan turun.

“Ini menyebabkan pasaran hartanah turun, mewujudkan kejutan baharu dalam pasaran hartanah dan mengakibatkan kerugian signifikan kepada ekonomi,” katanya kepada Media Selangor.
Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, pendapatan e-dagang perniagaan-ke-pengguna (B2C) di negara ini mencecah RM374.7 bilion pada 2024, naik 11.3 peratus berbanding 2023.
Pertumbuhan tabiat itu banyak didorong peningkatan populariti pelantar e-dagang terutama daripada China.
Menurut Dr Barjoyai, peralihan itu juga mengubah lanskap pekerjaan apabila sesetengah jawatan tradisional memberi laluan kepada pekerjaan di gudang, logistik dan perkhidmatan digital.
Beliau merujuk kerjaya pembantu jualan dan juruwang bertukar kepada pembungkus, penganalisis data, pemasaran digital, pembangun platform dan khidmat pelanggan kecerdasan buatan (AI).
“Akan berlaku penyesuaian semula pekerjaan, transformasi pekerjaan dan juga penciptaan pekerjaan baharu,” katanya.
Dari segi kos, katanya, sewa kedai, tenaga kerja, inventori fizikal dan operasi kaunter akan diganti perbelanjaan telekomunikasi, yuran platform, pemasaran digital dan penghantaran.
Beliau menjelaskan perubahan itu juga mempengaruhi cara bandar dan pusat beli-belah berfungsi berikutan pengguna semakin kurang sebab untuk mengunjungi premis fizikal.
Dr Barjoyai menjangka sesetengah pusat beli-belah ditutup dalam jangka pendek dan mengalami perubahan seperti beralih kepada perkhidmatan makanan dan minuman, hiburan dan rekreasi.
“Ini bukan satu pilihan kerana pengguna yang menentukan apa yang mereka mahu,” katanya sambil menyatakan premis itu boleh berkembang sebagai pusat peragaan fizikal sebelum dibeli dalam talian.
Menurutnya, kedai fizikal juga boleh menampung pembelian mendesak manakala kedai serbaneka 24 jam lebih relevan kerana pengguna lebih bergantung kepada pembelian dalam talian.
Namun, Dr Barjoyai tidak menolak kemungkinan peralihan ke arah membeli-belah dalam talian boleh mengurangkan kos operasi kedai runcit dan menurunkan harga dalam jangka panjang.
Beliau menyuarakan kebimbangan mengenai keyakinan pengguna apabila barangan yang diterima berbeza dengan iklan dalam talian yang mengikis kepercayaan pengguna.
“Dalam jangka sederhana dan panjang, ia sebenarnya baik kerana ia memberi pilihan kepada pengguna mengubah cara hidup ke arah lebih baik, lebih murah dan lebih jimat,” katanya.
Profesor ekonomi dari Institut Asia Eropah Universiti Malaya, Datuk Prof Rajah Rasiah pula berpendapat peningkatan pembelian dalam talian mengurangkan permintaan peruncitan fizikal.

Beliau memberitahu ia ekoran berlaku kesan limpahan ke atas perniagaan seperti restoran, kedai makanan dan kegiatan lain yang bergantung kepada kunjungan pelanggan (foot traffic).
Katanya, pembelian dalam talian dilihat lebih menarik kerana ia menawarkan kecekapan tinggi manakala peruncit fizikal perlu memindah kos kepada pengguna.
Prof Rajah mencadangkan peruncit mengamal operasi berasaskan mobiliti dan ringkas dengan memberi tumpuan kepada barangan dan perkhidmatan yang menjadi pilihan untuk dibeli secara bersemuka.
“Membeli-belah dalam talian tidak sepatutnya dilihat sebagai ancaman, sebaliknya sebagai transformasi pelengkap yang perlu berkembang sehingga mencapai had kecekapan maksimum,” katanya.
Beliau menjelaskan persaingan masa depan bergantung kepada sejauh mana peniaga dalam talian dapat bersaing dengan kedai fizikal apabila kedua-duanya menerima layanan sama bawah cukai jualan dan perkhidmatan (SST).








