SHAH ALAM, 16 JUL: Malaysia di landasan tepat untuk menjadi hab kecerdasan buatan (AI) serantau, kata Dekan Fakulti AI di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Ts Dr Mohd Naz’ri Mahrin.
Beliau berkata keyakinan itu berdasarkan penafaran Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) yang menyaksikan negara tergolong dalam 20 negara yang ekonominya paling berdaya saing di dunia.
Katanya, Malaysia di tangga ke-15 dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) 2026, sekali gus naik 19 anak tangga selepas berada di tangga ke-34 pada 2024.
Menurut Dr Mohd Naz’ri, kejayaan itu membuktikan pengukuhan ekonomi dan kecekapan kerajaan termasuk lonjakan besar dalam industri semikonduktor dan pelaburan berkaitan AI.
“Malaysia sebenarnya bukan sahaja sudah bersedia pada peringkat Asean, malahan peringkat global,” kata beliau kepada Media Selangor.
Beliau memberitahu IMD yang berpangkalan di Switzerland menilai daya saing sesebuah ekonomi berdasarkan empat kayu ukur iaitu prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan infrastruktur.
Katanya, Malaysia memperoleh skor tinggi dalam tiga penilaian manakala satu lagi iaitu kecekapan infrastruktur memerlukan lebih banyak tambah baik terutama aspek pendigitalan serta kemudahan awam.
“Ini sedang dilaksanakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang menyasar liputan rangkaian 5G di kawasan berpenduduk mencapai 98 peratus menjelang 2030,” katanya.
Pada 18 Jun, IMD menerbitkan WCR 2026 yang menyaksikan Singapura merampas kedudukan nombor satu dunia daripada Switzerland yang jatuh ke tangga ketiga.
Laporan tahunan yang menunjukkan tahap daya saing 70 negara di seluruh dunia itu menilai ekonomi berdasarkan keupayaan menjana dan mengekalkan persekitaran mesra perniagaan.
Cipta 78 juta pekerjaan
Di sebalik keresahan golongan pekerja berikutan perkembangan teknologi itu, Dr Mohd Naz’ri berkata AI sebenarnya membantu mencipta peluang pekerjaan baharu menjelang tahun 2030.
Katanya, sebanyak 92 juta pekerjaan dijangka hilang akibat kemajuan AI tetapi 170 juta pekerjaan baharu dicipta antara 2025 hingga 2030 mengikut unjuran Forum Ekonomi Dunia (WEF).
“Ini bermakna, kita akan ada 78 juta pekerjaan baharu nanti yang akan dicipta. Kita tidak perlu risau, asalkan kita pandai ambil peluang ini dan persiapkan diri kita dengan ilmu AI.
“Pekerja tidak boleh selesa dan mesti lakukan peningkatan kemahiran (upskilling) segera bagi memastikan kita tidak ketinggalan. Jangan tengok sahaja atau takut dengan teknologi, masuk dan jadi pemain,” katanya.
Beliau berkata Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pula perlu merangka Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 bagi memastikan negara terus melahirkan bakat dalam AI.
Katanya, pelan itu bertujuan memperkasa kebolehpasaran graduan, mentransformasi ekosistem pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET) selain memodenkan prasarana digital bagi mendepani cabaran kerjaya menjelang 2030.
Justeru, Dr Mohd Naz’ri memuji langkah kerajaan yang mengiktiraf TVET sebagai aliran perdana melalui Dasar TVET Negara 2030 yang dijangka melahirkan ramai tenaga mahir berkualiti tinggi.
“Ketika ini KPT telah mewajibkan kursus AI dalam semua peringkat program di institut pengajian tinggi. Tidak kira peringkat diploma, ijazah atau sarjana, semua-nya perlu ambil kursus berkaitan AI.







