SHAH ALAM, 16 JULAI: Rapid Bus Sdn Bhd masih menunggu penambahan van bagi memperkukuh kapasiti perkhidmatan Respons Permintaan Transit (DRT) susulan peningkatan permintaan pengguna di Selangor.
EXCO Mobiliti Ng Sze Han berkata, Kerajaan Negeri telah menerima pelbagai maklum balas daripada pengguna sejak dua hingga tiga minggu kebelakangan ini, terutama berkaitan tempoh menunggu yang lama serta pembatalan tempahan secara tiba-tiba.
Katanya, semua maklum balas berkenaan telah disalurkan kepada Rapid Bus selaku operator perkhidmatan DRT.
"Dalam tempoh dua hingga tiga minggu ini memang ada terima maklum balas atau cadangan daripada pengguna DRT. Salah satunya ialah waktu menunggu yang agak lama dan kadang-kadang tempahan dibatalkan secara tiba-tiba.
"Semua perkara itu telah kami sampaikan kepada Rapid Bus. Buat masa ini operator masih menunggu lebih banyak van untuk dijadikan kenderaan bagi perkhidmatan DRT," katanya ketika ditemui pada sesi libat urus komuniti setempat projek Safer School Streets di SMK Taman Sea, Petaling Jaya, semalam.

Beliau bagaimanapun berkata, Kerajaan Negeri tidak mempunyai maklumat mengenai tempoh penambahan van kerana perkara itu berada di bawah tanggungjawab Rapid Bus selaku operator perkhidmatan DRT.
"Yang itu kena tanya Rapid Bus. Saya tak ada maklumat, tetapi buat masa ni permintaan (penggunaan DRT) itu amat menggalakkan," ujarnya.
Menurut beliau, permintaan terhadap perkhidmatan DRT dijangka terus meningkat pada minggu pertama Ogos depan.
"Minggu pertama bulan Ogos, saya yakin permintaan itu akan bertambah," katanya.
Inisiatif subsidi tambang pengangkutan awam RM30 sebulan telah bermula menerusi Fasa 1 pada pertengahan Jun, melibatkan perkhidmatan DRT kendalian Kumpool.
Fasa 2 pula dijadual bermula pada pertengahan September dengan peluasan kepada DRT, komuter serta bas henti-henti manakala senarai perkhidmatan yang layak akan diumumkan kemudian.
Menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor, Kerajaan Negeri menyediakan subsidi tambang pengangkutan awam sebanyak RM30 sebulan kepada 50,000 warga Selangor selama enam bulan, tertakluk kepada syarat serta kelulusan ditetapkan.
Inisiatif khas itu diperkenalkan bagi membantu meringankan kos pengangkutan awam rakyat susulan tekanan kos sara hidup semasa.








