SHAH ALAM, 25 JUN: Inisiatif subsidi tambang pengangkutan awam RM30 sebulan akan dilaksanakan secara berperingkat menerusi dua fasa, dengan Fasa 1 bermula pertengahan Jun dan Fasa 2 dijadual bermula pertengahan September.
Menurut Soalan Lazim (FAQ) yang dikeluarkan Rantaian Mesra Sdn Bhd (RMSB) selaku agensi pelaksana, Fasa 1 melibatkan perkhidmatan Respons Permintaan Transit (DRT), menerusi Kumpool.
Fasa 2 pula akan diperluaskan kepada DRT, komuter serta bas henti-henti, manakala senarai perkhidmatan yang layak akan diumumkan kemudian.
Program di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor itu menawarkan subsidi tambang kepada 50,000 pemohon yang layak bagi tempoh enam bulan sehingga Disember 2026.
Bagi menikmati manfaat penuh sepanjang tempoh tersebut, orang ramai perlu mendaftar sebelum 30 Jun, dengan hanya satu permohonan dibenarkan bagi setiap individu.
Pemohon mestilah warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas, penduduk serta pengundi berdaftar di Selangor, memiliki telefon pintar dan tinggal di kawasan yang mempunyai akses kepada perkhidmatan pengangkutan awam yang ditetapkan.
Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) turut layak memohon tertakluk kepada syarat yang ditetapkan, manakala pelajar sekolah belum layak menyertai program itu buat masa ini.
Permohonan hendaklah dibuat menerusi aplikasi NINE eWallet dengan pemohon perlu memuat naik dokumen sokongan bagi tujuan semakan dan pengesahan.

Bagaimanapun, FAQ itu menjelaskan bahawa memenuhi syarat kelayakan tidak menjamin permohonan diluluskan kerana ia tertakluk kepada kuota semasa, peruntukan, semakan dan pengesahan oleh RMSB serta persetujuan Kerajaan Negeri.
Bantuan itu akan dikreditkan secara automatik ke aplikasi NINE eWallet setiap bulan sepanjang tempoh program, tertakluk kepada status kelayakan penerima.
Baki yang tidak digunakan pada bulan semasa akan luput dan tidak dibawa ke bulan berikutnya. Sebaliknya, penerima akan menerima kredit baharu sebanyak RM30 pada bulan berikutnya.
Pengguna yang tidak menggunakan subsidi selama dua bulan berturut-turut pula boleh ditamatkan daripada program, dan tempat mereka akan digantikan dengan pemohon lain yang layak.
Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut mengenai inisiatif subsidi tersebut boleh menghubungi saluran rasmi mengikut jenis urusan.
Pertanyaan mengenai dasar program boleh diajukan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (PSUK) di talian 03-5540 7000, manakala urusan permohonan dan penyaluran dikendalikan oleh RMSB menerusi talian 03-5650 0913 atau e-mel mobiliti@rmsb.my.
Isu berkaitan aplikasi NINE eWallet dan operasi pengangkutan awam pula boleh dirujuk kepada penyedia perkhidmatan masing-masing.








