Bas percuma hubungkan lokasi utama sekitar Hulu Selangor

15 Okt 2026, 1:00 AM
Bas percuma hubungkan lokasi utama sekitar Hulu Selangor
Bas percuma hubungkan lokasi utama sekitar Hulu Selangor

HULU SELANGOR, 15 OKT: Perkhidmatan Bas Smart Selangor kekal sebagai keperluan penting untuk pergerakan penduduk di daerah ini untuk ke pekan, hospital, sekolah dan stesen komuter.

Perkhidmatan secara percuma itu mencatat kira-kira 1.6 juta penumpang sepanjang 10 tahun di daerah tersebut, malah ada rancangan untuk menambah bilangan bas dan memperluas laluan sedia ada.

Menurut yang dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), bas itu tulang belakang pengangkutan awam di daerah itu bagi menghubungkan kawasan kediaman dengan lokasi utama.

Julaihah Jamaludin memberitahu sebanyak lima bas beroperasi meliputi lima laluan dengan pelajar dan golongan ibu antara pengguna utama perkhidmatan berkenaan.

Wawancara Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) Julaihah Jamaludin di pejabatnya di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 25 September 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

"Bas Smart Selangor sangat penting kepada kita. Dalam perancangan, kita sebenarnya perlu tambah seiring dengan pertambahan penduduk dan pertumbuhan bandar baharu.

"Setiap tahun kita akan lihat bilangan pengguna. Kalau ada laluan yang bilangan penumpangnya rendah, kita susun semula supaya dapat menarik lebih ramai menggunakan perkhidmatan bas," katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata bas yang beroperasi sekitar 10 perjalanan sehari mulai 6 pagi hingga 8 malam berperanan penting dalam memudahkan penduduk mendapat akses pengangkutan awam dari kediaman.

Namun, Julaihah mengakui jaringan pengangkutan awam perlu ditambah baik terutama di luar bandar berikutan pembangunan di daerah ini agak berselerak dan meliputi kawasan luas.

"Di Anjung Utara terutama Felda, pengangkutan awam agak terhad. Buat masa ini, kita lebih memberi tumpuan kepada kawasan padat seperti Kuala Kubu Bharu, Batang Kali dan Bukit Sentosa.

"Memang ada permintaan tetapi kita perlu melihat secara menyeluruh termasuk bilangan pengguna kerana ia turut melibatkan kos," katanya lagi.

Beliau berkata operasi lima laluan ketika ini membabitkan kos lebih RM1 juta setahun, justeru pertambahan bas atau peluasan laluan perlu mengambil kira permintaan dan tahap penggunaan.

Pada masa sama, Julaihah berkata MPHS turut mengambil kira pembangunan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Bandar Serendah dalam perancangan jaringan pengangkutan awam pada masa depan.

Pengguna Bas Smart Selangor berhenti di hentian Keretapi Kuala Kubu Bharu pada 26 September 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN

Katanya, laluan sedia ada sudah meliputi kawasan berkenaan dan keperluan menambah bilangan bas akan diteliti bagi meningkatkan akses penduduk apabila stesen itu beroperasi kelak.

"Kawasan bandar kita perlu tambah bilangan bas dan kembangkan lagi laluan. Lima laluan utama yang ada sekarang perlu ditambah baik dari segi bilangan bas dan kekerapan.

"Kita tidak ada masalah untuk membelanjakan peruntukan bagi menambah bilangan bas selagi perkhidmatan itu dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya," katanya.

Selain itu, Julaihah memberitahu transit atas permintaan (DRT) turut dilihat sebagai antara pilihan bagi melengkapkan jaringan pengangkutan awam di daerah berkenaan.

Katanya, Hulu Selangor belum ada perkhidmatan itu tetapi Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung berpotensi dipertimbang ekoran kepadatan penduduk serta pembangunan industri di situ.

"Kalau DRT dapat dikembangkan di Hulu Selangor, kita mungkin boleh bermula di Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung kerana kawasan ini sedang pesat membangun.

"Bagaimanapun, kita perlu melihat permintaan penduduk kerana ia melibatkan permintaan dan penawaran," katanya.

Sebelum ini, EXCO Mobiliti Ng Sze Han memaklumkan laluan bas tersebut sedang disemak bagi menambah baik dari aspek kekerapan perkhidmatan mengikut keperluan setiap PBT.

Jun lalu, Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pentadbiran negeri akan mengenal pasti jurang liputan dan kesepaduan perkhidmatan bagi meningkatkan kesalinghubungan di Selangor.

Fakta Bas Smart Selangor. GRAFIK FARAH AZILA MUSTAPHA

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.