PETALING JAYA, 15 JULAI: Lencongan trafik akan dilaksanakan secara berfasa sepanjang kerja pembinaan laluan pejalan kaki berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sea yang dijadual bermula minggu depan.
Lencongan trafik dan penutupan jalan secara berperingkat itu membabitkan Jalan SS 21/34, Jalan SS 21/35, Jalan SS 21/36 dan Jalan SS 21/37 sepanjang tempoh pembinaan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku, Lim Yi Wei berkata, kontraktor akan menyediakan jadual pelaksanaan bagi memastikan gangguan terhadap aliran trafik dapat diminimumkan.
"Ia akan berlaku dalam fasa tertentu dan kontraktor akan memberikan jadual pelaksanaan kepada kami.
"Saya kira kita mempunyai ruang yang mencukupi untuk mengekalkan sekurang-kurangnya satu lorong," katanya ketika ditemui pada sesi libat urus komuniti setempat projek Safer School Streets di sini, hari ini.

Beliau berkata, pendekatan itu membolehkan kerja pembinaan diteruskan tanpa menjejaskan sepenuhnya pergerakan pengguna jalan raya.
Projek Safer School Streets bernilai RM1.5 juta itu dijangka siap dalam tempoh enam bulan dan merangkumi pembinaan laluan pejalan kaki berterusan, lintasan pejalan kaki bertingkat, penambahbaikan persimpangan, langkah kawalan kelajuan trafik serta pelaksanaan Zon Sekolah 30 kilometer sejam.
Sementara itu, EXCO Mobiliti Ng Sze Han berkata, projek berkenaan dilaksanakan bagi meningkatkan keselamatan pelajar, pejalan kaki serta pengguna pengangkutan awam di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, projek itu dilaksanakan susulan kajian mobiliti yang mendapati kawasan berkenaan merekodkan aliran pejalan kaki yang tinggi, namun tahap keselamatannya masih membimbangkan.
Katanya, SMK Taman Sea dipilih sebagai lokasi perintis kerana mempunyai lebih 1,300 pelajar dan terletak kira-kira 500 meter dari Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Taman Bahagia, menjadikannya antara koridor penghubung ke stesen pengangkutan awam (First Mile Last Mile) paling aktif di Petaling Jaya.







