Laluan pejalan kaki baharu di SMK Taman Sea mula dibina minggu depan

15 Jul 2026, 9:30 AM
Laluan pejalan kaki baharu di SMK Taman Sea mula dibina minggu depan
Laluan pejalan kaki baharu di SMK Taman Sea mula dibina minggu depan
Laluan pejalan kaki baharu di SMK Taman Sea mula dibina minggu depan

PETALING JAYA, 15 JULAI: Kerja pembinaan laluan pejalan kaki dan lintasan baharu berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sea akan bermula minggu depan dan dijangka siap dalam tempoh enam bulan.

EXCO Mobiliti, Ng Sze Han berkata, projek perintis Safer School Streets itu dilaksanakan bagi meningkatkan keselamatan pelajar, pejalan kaki serta pengguna pengangkutan awam di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, projek itu dilaksanakan susulan kajian mobiliti yang mendapati kawasan berkenaan merekodkan aliran pejalan kaki yang tinggi, namun tahap keselamatannya masih membimbangkan.

"Apa yang akan dibina bukan sekadar lintasan baharu atau mengecat jalan. Sebaliknya, projek ini menggunakan pendekatan self-enforcing street design, iaitu reka bentuk jalan yang secara semula jadi membuatkan pemandu memperlahankan kelajuan tanpa bergantung sepenuhnya kepada penguatkuasaan.

"Antara komponen utama projek ialah laluan pejalan kaki berterusan, lintasan pejalan kaki bertingkat, persimpangan yang lebih selamat, langkah kawalan kelajuan trafik serta pelaksanaan Zon Sekolah 30 kilometer sejam," katanya pada sesi libat urus komuniti setempat bagi projek Safer School Streets di sini, hari ini.

EXCO Mobiliti, Ng Sze Han bercakap kepada media selepas sesi libat urus komuniti bagi projek perintis Safer School Streets di SMK Taman Sea, Petaling Jaya pada 15 Julai 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

Beliau berkata, SMK Taman Sea dipilih sebagai lokasi perintis kerana mempunyai lebih 1,300 pelajar dan terletak kira-kira 500 meter dari Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Taman Bahagia, menjadikannya antara koridor penghubung ke stesen pengangkutan awam (First Mile Last Mile) paling aktif di Petaling Jaya.

Menurutnya, kajian mobiliti merekodkan kira-kira 800 pejalan kaki menggunakan laluan sekitar stesen LRT dalam tempoh satu setengah jam, manakala sekitar 500 pejalan kaki direkodkan di kawasan sekolah.

"Kajian sama turut mendapati 76.2 peratus responden berasa tidak selamat menggunakan jalan di sekitar sekolah, selain terdapat kenderaan dipandu sehingga 85 kilometer sejam walaupun laluan itu menjadi tumpuan murid dan pejalan kaki.

"Jalan raya bukan hanya milik kenderaan, sebaliknya merupakan ruang awam yang perlu dikongsi secara adil oleh semua," ujarnya.

Sze Han berkata, projek itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar, malah penduduk, warga emas, pengguna kerusi roda, penunggang basikal dan pengguna mikromobiliti yang menggunakan laluan berkenaan setiap hari.

"Kita mahu mengukur kejayaan sesebuah jalan berdasarkan sejauh mana ia selamat untuk seorang kanak-kanak berjalan ke sekolah, selamat untuk seorang warga emas melintas jalan dan mudah digunakan oleh pengguna kerusi roda," tambahnya.

Beliau berharap projek perintis itu menjadi penanda aras kepada pelaksanaan Safer School Streets di lebih banyak sekolah di seluruh Selangor.

"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) atas keberanian dan komitmennya menerajui pelaksanaan projek ini," katanya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku, Lim Yi Wei ketika ditemui media selepas sesi libat urus komuniti bagi projek perintis Safer School Streets di SMK Taman Sea, Petaling Jaya pada 15 Julai 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku Lim Yi Wei berkata sekurang-kurangnya dua hingga tiga kemalangan membabitkan pelajar direkodkan di kawasan berkenaan sepanjang dua tahun lalu.

Beliau berkata, satu daripada kemalangan itu melibatkan seorang pelajar yang dilanggar berhampiran Stesen LRT Taman Bahagia sehingga terpaksa menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) sebelum kembali bersekolah kira-kira dua bulan kemudian.

"Bagi kami, satu kemalangan pun sudah terlalu banyak. Sebab itu kita mahu mengelakkan kemalangan daripada terus berlaku.

"Ini merupakan projek yang menyeluruh bagi memastikan laluan di sekitar SMK Taman Sea lebih selamat untuk semua pengguna jalan raya," katanya.

Projek Safer School Streets di SMK Taman Sea menerima peruntukan RM1 juta daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta RM500,000 daripada MBPJ, dengan sokongan teknikal PLANMalaysia, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Commute Initiatives.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.