SHAH ALAM, 8 SEPT: Selangor memperkukuh perancangan bandar dengan memberi keutamaan kepada keperluan pejalan kaki menerusi aspek keselamatan, ketersambungan laluan dan kemudahan akses yang lebih baik.
EXCO Mobiliti Ng Sze Han berkata perkara itu antara yang dibincangkan bersama PLANMalaysia Selangor berkaitan Garis Panduan Pelaksanaan Bandar Sihat Mesra Pejalan Kaki di Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor di sini, semalam.
Katanya, keperluan pejalan kaki perlu diberi perhatian sejak peringkat perancangan bagi memastikan kemudahan yang disediakan lebih bersambung, mudah digunakan dan tidak menghalang pergerakan.
“Saya berharap agar garis panduan ini dapat diterjemahkan kepada perubahan nyata yang boleh dirasai oleh rakyat khususnya melalui penyediaan laluan pejalan kaki yang bersambung, lintasan yang lebih selamat, kemudahan akses yang inklusif, serta perjalanan harian yang lebih selesa,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurutnya, hubungan antara laluan pejalan kaki dengan pengangkutan awam juga penting bagi mewujudkan sistem pergerakan yang lebih mudah dan inklusif.
Sze Han berkata aspek keselamatan dan keselesaan perlu menjadi asas dalam penyediaan kemudahan pejalan kaki supaya masyarakat tidak berdepan risiko apabila memilih untuk berjalan kaki.
“Saya percaya apabila seseorang memilih untuk berjalan kaki, mereka sepatutnya tidak perlu mempertaruhkan keselamatan atau keselesaan mereka,” katanya.







