Lelaki warga asing direman, didakwa berkelakuan tidak senonoh di taman permainan

15 Jul 2026, 8:04 AM
Lelaki warga asing direman, didakwa berkelakuan tidak senonoh di taman permainan

SHAH ALAM, 14 JULAI: Seorang lelaki warga asing direman empat hari selepas ditahan kerana disyaki melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap seorang wanita di sebuah taman permainan di Cyberjaya, Sepang, semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, suspek yang berusia awal 20-an ditahan oleh orang awam sebelum diserahkan kepada polis.

Beliau berkata, mangsa yang merupakan seorang wanita tempatan membuat laporan polis pada jam 7.18 malam berhubung kejadian itu.

"Lelaki berkenaan didakwa memasukkan tangan ke dalam seluar dan menggosok kemaluan secara berulang kali sambil merenung ke arah wanita berkenaan.

"Bimbang terhadap keselamatan diri, wanita berkenaan mendapatkan bantuan orang awam dan suspek ditahan oleh beberapa orang awam sebelum diserahkan kepada anggota polis yang tiba di lokasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Norhizam berkata, suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Polis merakamkan penghargaan kepada orang awam yang membantu menahan suspek dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Kejadian itu tular di platform Threads selepas wanita terbabit mendakwa suspek melakukan perbuatan tidak senonoh sambil memandang ke arahnya dan anaknya di taman permainan berkenaan.

Hantaran itu turut memaparkan gambar seorang lelaki ditahan polis, selain mangsa mengingatkan ibu bapa supaya lebih berwaspada ketika membawa anak ke kawasan permainan awam.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.