LTdL: Enam jalan utama Sepang ditutup Ahad, laluan alternatif disediakan - Polis

2 Okt 2026, 7:41 AM
LTdL: Enam jalan utama Sepang ditutup Ahad, laluan alternatif disediakan - Polis

SHAH ALAM, 2 OKT: Enam jalan utama di Sepang akan ditutup secara berperingkat Ahad ini bagi memberi laluan kepada perlumbaan peringkat akhir Le Tour de Langkawi (LTdL) Malaysia 2026.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman berkata penutupan bermula 1.30 tengah hari hingga 2.30 petang, membabitkan laluan dari sempadan Sepang-Nilai hingga sempadan Sepang-Putrajaya.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman. Foto BERNAMA

“Enam laluan terlibat adalah Jalan Labohan Dagang-Nilai, Jalan Jenderam-Salak, Jalan Banting-Semenyih, lampu isyarat Simpang Empat Dengkil, Jalan Dengkil-Putrajaya Bypass dan Jalan Persiaran Selatan.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan atau menggunakan laluan alternatif bagi mengelak kesesakan sepanjang tempoh penutupan jalan,” katanya menerusi kenyataan.

Norhizam berkata peringkat akhir LTdL pada 4 Oktober itu akan memasuki kawasan Sepang sejauh 24.5 kilometer dengan penyertaan 120 pelumba.

Katanya, penutupan dan lencongan jalan akan dilaksanakan Polis Sepang dengan bantuan penguat kuasa Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) serta Pejabat Daerah dan Tanah Sepang.

“Pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sepang, anggota balai polis berhampiran serta penguat kuasa MPSepang akan ditempatkan di lokasi terlibat bagi mengawal lalu lintas dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

Bagi laluan alternatif, pengguna dari Dengkil ke Kota Warisan boleh melalui Jalan Kampung Sungai Melut, manakala pengguna dari Bangi ke utara atau selatan boleh menggunakan Lebuhraya PLUS melalui Plaza Tol Southville City, Dengkil.

Pengguna dari Bandar Baru Salak Tinggi, Banting, Nilai dan Kota Warisan ke Kuala Lumpur pula boleh menggunakan Lebuhraya ELITE melalui Plaza Tol Serenia City.

Bagaimanapun, pergerakan dari Kuala Lumpur dan Putrajaya ke KLIA serta KLIA2 tidak terjejas.

Dalam perkembangan sama, lima lokasi saringan turut ditetapkan Ahad ini bagi memeriksa kenderaan yang menuju ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sempena Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix Malaysia 2026, termasuk laluan dari Plaza Tol KLIA dan KLIA 1 menuju ke Jalan Pekeliling.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.