PUTRAJAYA, 5 OKT: Polis berjaya mengesan seorang lelaki tempatan yang memandu kereta secara melawan arus di susur masuk ke Lebuhraya Maju (MEX) seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman berkata lelaki berusia 40-an itu bersama kenderaannya telah dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang semalam untuk tindakan lanjut.
“Hasil siasatan mendapati pemandu kereta jenis Perodua Myvi berwarna merah itu datang dari arah Putrajaya menghala ke Puchong.
"Apabila tiba di lokasi kejadian (pemandu) dipercayai telah terlepas laluan ke arah Plaza Tol MEX (Putrajaya).
"Kemudian, pemandu berkenaan dipercayai telah membuat pusingan untuk berpatah balik dengan memandu secara melawan arus bagi mendapatkan semula laluan untuk menuju ke arah Puchong,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata ketika melalui laluan tersebut, pemandu berkenaan memasang lampu kecemasan dan memandu secara perlahan sejauh kira-kira 30 meter sebelum memasuki laluan menuju ke arah Puchong.
“Lelaki yang bekerja di sektor awam itu memiliki lesen memandu yang masih sah tempoh. Kejadian berkenaan tidak melibatkan sebarang kemalangan atau kecederaan terhadap pengguna jalan raya lain,” katanya.
Norhizam berkata kes disiasat dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (memandu dengan melulu atau berbahaya).
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes Insp Kogielavaani a/p Ayyasamy di talian 014-6694721 atau 03-87774264 bagi membantu siasatan.
Sebelum ini, tular dua video di media sosial memaparkan kereta jenis Myvi yang bertindak memandu secara melawan arus di susur masuk ke Lebuhraya MEX hingga menyebabkan berlaku kesesakan di kawasan itu.







