SHAH ALAM, 15 JULAI: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menyalurkan sumbangan wakaf berjumlah RM133,988 bagi menaik taraf kemudahan di dua masjid dan sebuah Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Integrasi di Selangor.
Agensi itu memaklumkan, daripada jumlah tersebut, RM50,000 menerusi wakaf fisabilillah diperuntukkan bagi kerja baik pulih Masjid Jamiul Muhammadiah, Kampung Kuantan, Kuala Selangor.
Sementara itu, RM57,988 diagihkan kepada Masjid Kota Damansara, Petaling Jaya bagi membiayai projek pemasangan sistem saliran air hujan dan kamera litar tertutup (CCTV).
“Agihan itu adalah hasil kutipan tabung wakaf yang ditempatkan di masjid berkenaan, dengan 50 peratus daripada jumlah kutipan dipulangkan semula kepada pihak masjid untuk melaksanakan projek pembangunan dan penambahbaikan yang memberi manfaat kepada komuniti setempat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Selain itu, PWS turut menyalurkan RM26,000 menerusi wakaf fisabilillah bagi membiayai kerja baik pulih KAFA Integrasi Darul Ulum, Ulu Teris, Sepang.
Menurut PWS, sumbangan itu bertujuan memperkasa institusi pendidikan Islam selain menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif kepada pelajar.
“Sumbangan ini diharap dapat membantu pihak sekolah melaksanakan kerja baik pulih yang diperlukan demi meningkatkan keselesaan dan keselamatan warga sekolah dalam menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran.
“PWS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pewakaf serta pihak pengurusan masjid atas komitmen berterusan dalam memperkasakan institusi wakaf.
“Semoga setiap sumbangan yang dihulurkan menjadi amal soleh yang berterusan dan memberi manfaat kepada ummah untuk generasi akan datang,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyumbang wakaf tunai boleh berbuat demikian menerusi platform Wakaf Selangor Online atau InfaqPay Wakaf Selangor.







