SHAH ALAM, 14 JULAI: Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) melaksanakan dua operasi penguatkuasaan bagi merobohkan struktur gerai tanpa kebenaran di Sungai Panjang dan Sungai Besar.
MDSB memaklumkan operasi pertama dijalankan pada 9 Julai membabitkan sebuah gerai lemang tinggalan yang dibina di atas tanah rizab jalan di Sungai Limau, Sungai Besar.
Operasi meroboh dan mengosongkan struktur itu dilaksanakan secara bersepadu dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam (PDTSB) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabak Bernam.
Sementara itu, hari ini, MDSB menerusi Jabatan Penguatkuasaan bersama Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Persekitaran menjalankan operasi merobohkan sebuah gerai tinggal di Jalan Parit 16, Sungai Panjang.
Menurut MDSB, tindakan itu diambil bagi membanteras pembinaan struktur tanpa izin di atas tanah rizab kerajaan dan dilaksanakan mengikut Seksyen 46(3), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
MDSB turut mengingatkan orang ramai supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan dan tidak membina sebarang struktur tanpa kebenaran di atas tanah rizab kerajaan.
"Kerjasama orang ramai penting bagi memastikan persekitaran daerah sentiasa selamat, bersih dan teratur," menurut kenyataan itu.









