SHAH ALAM, 14 JULAI: Orang ramai dijemput memeriahkan Larian Obor SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 Peringkat Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) yang akan berlangsung sempena Hari Tanpa Kenderaan Subang Jaya (HTKSJ) Siri 2/2026, Ahad ini.
Program akan diadakan pada 19 Julai, dari 7 pagi hingga 11 pagi di Subang Parade, Subang Jaya.
MBSJ memaklumkan larian itu bertujuan menyemarakkan semangat kesukanan, perpaduan dan sokongan komuniti menjelang penganjuran SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026.

Selain Larian Obor SUKMA sejauh 4.6 kilometer, pelbagai aktiviti turut disediakan termasuk senamrobik, pertandingan Netball Shoot Out, Street Soccer sekolah rendah, sepak raga bulatan dan Cabaran Eksplorasi HTKSJ.
Pengunjung juga berpeluang menyertai pertandingan mewarna kanak-kanak, pemeriksaan kesihatan percuma, Eco Free Market, bazar makanan, persembahan busking serta cabutan bertuah.
Turut diadakan penyerahan sumbangan Sukan Angkat SUKMA, program inklusif pangsapuri kos rendah, aktiviti Yanis Clay Art dan edaran 1,000 anak pokok.
Sebelum ini, Jelajah Larian Obor SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 di Stadium Kajang pada 12 Julai menerima sambutan menggalakkan dengan penyertaan lebih 1,000 peserta.
EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata Kajang merupakan lokasi kelapan daripada 12 destinasi yang dijadualkan dalam siri jelajah tersebut, sebelum diteruskan ke Subang Jaya, Petaling Jaya, Kuala Langat dan Sepang.
MBSJ mengajak orang ramai hadir bagi bersama-sama memeriahkan acara itu serta menyemarakkan semangat menjelang temasya SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026.











