PUCHONG, 12 Okt: Selepas lebih 30 tahun beroperasi, pasar pagi Bandar Puchong Jaya di Jalan Merak 2A bakal berwajah baharu apabila kerja-kerja naik taraf yang dilaksanakan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dijangka siap sepenuhnya pada 19 Oktober ini.
Naik taraf bernilai RM600,000 itu melibatkan kerja penurapan menggunakan jubin turapan jenis antiselit, pembaikan jalan serta sistem perparitan rosak bagi meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengunjung.
EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Negeri Selangor merangkap Ahli Dewan Negeri Kinrara, Ng Sze Han berkata projek itu merupakan usaha terbesar sejak pasar berkenaan mula beroperasi pada 1992.
“Ini merupakan naik taraf terbesar dalam sejarah pasar ini. Penstrukturan semula kedudukan gerai bukan sahaja membantu melancarkan aliran trafik tetapi juga dijangka meningkatkan jumlah pengunjung,” katanya seperti dilapor The Star.
Menurut beliau, kerja-kerja naik taraf turut melibatkan pemindahan gerai ayam dan ikan ke bahagian berturap baharu yang lebih teratur dan bersih.
“Kemudahan pasar perlu seiring dengan perubahan masa. Aspek kebersihan dan keselesaan perlu diberi keutamaan supaya pasar kekal relevan serta mampu menarik minat golongan muda,” katanya selepas lawatan tapak bersama Ahli Majlis MBSJ Ng Seow Chen dan Pengarah Jabatan Kejuruteraan MBSJ, Dr Mohd Ariffuddin Kamari.
Sze Han berkata masalah longkang tersumbat dan kebersihan persekitaran telah lama berlarutan dan memerlukan kerjasama antara peniaga serta komuniti setempat bagi memastikan penyelesaian jangka panjang.
Sementara itu, Seow Chen turut menasihati para peniaga supaya menjaga kebersihan kawasan perniagaan masing-masing.
“Jangan membuang sampah atau minyak masak ke dalam longkang kerana ia menyebabkan saluran tersumbat. Kami berharap kerja naik taraf ini dapat memperbaiki keseluruhan imej pasar, namun kebersihan persekitaran hanya boleh dicapai dengan kerjasama semua pihak,” katanya.
Beliau turut menegaskan MBSJ akan memperketat pemantauan dan mengambil tindakan terhadap peniaga yang gagal mematuhi aspek kebersihan.
Tapak pasar pagi itu juga berfungsi sebagai kawasan parkir awam selepas pasar ditutup pada tengah hari.