Lebih 1,000 sertai Jelajah Larian Obor SUKMA 2026 di Kajang

12 Jul 2026, 3:48 PM
Lebih 1,000 sertai Jelajah Larian Obor SUKMA 2026 di Kajang
Lebih 1,000 sertai Jelajah Larian Obor SUKMA 2026 di Kajang
Lebih 1,000 sertai Jelajah Larian Obor SUKMA 2026 di Kajang
Lebih 1,000 sertai Jelajah Larian Obor SUKMA 2026 di Kajang

KAJANG, 12 JULAI: Jelajah Larian Obor Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 dan PARA SUKMA 2026 di Stadium Kajang malam ini mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan lebih 1,000 peserta.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata Kajang merupakan lokasi kelapan daripada 12 destinasi yang dijadualkan bagi siri jelajah itu menjelang temasya dwitahunan tersebut.

“Pada siri jelajah peringkat daerah Hulu Langat dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) malam ini, sambutan menggalakkan daripada peserta yang membuat larian sejauh tiga kilometer.

“Selepas ini hanya tinggal empat lokasi untuk jelajah ini iaitu di Subang Jaya, Petaling Jaya, Kuala Langat dan seterusnya ke Sepang,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pelepasan acara itu di sini, malam tadi.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi ditemui pemberita selepas Jelajah Larian Obor Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 peringkat Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di Stadium Kajang pada 12 Julai 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Terdahulu, acara simbolik menyaksikan Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Ts Hasrolnizam Shaari menyerahkan obor kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Nazli Md Taib sebelum larian dimulakan.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA Selangor, Dato' Mohd Yazid Sairi dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Mohamad Nizam Marjugi.

Dalam perkembangan sama, Najwan berkata enam acara sukan akan dipertandingkan di bawah penyelarasan MPKj sempena SUKMA Selangor 2026 dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dipilih sebagai lokasi pertandingan.

“Antara sukan yang akan berlangsung di peringkat daerah Hulu Langat dan pentadbiran MPKj ialah tinju, sofbol, gimrama, gimnastik dan angkat berat,” katanya.

SUKMA Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala PARA SUKMA 2026 akan diadakan dari 5 hingga 14 September.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.