EXCO: Kawal media sosial cegah keganasan di sekolah

14 Jul 2026, 12:00 PM
EXCO: Kawal media sosial cegah keganasan di sekolah
EXCO: Kawal media sosial cegah keganasan di sekolah
EXCO: Kawal media sosial cegah keganasan di sekolah
EXCO: Kawal media sosial cegah keganasan di sekolah

SHAH ALAM, 14 JULAI: Kerajaan perlu mempertimbangkan langkah lebih tegas bagi mengawal penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak sebagai usaha membanteras kejadian keganasan di sekolah.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata kanak-kanak bawah usia 16 tahun tidak sepatutnya memiliki akaun media sosial, selain penguatkuasaan terhadap perkara itu perlu diperkasakan bagi melindungi mereka daripada pengaruh negatif.

Menurutnya, langkah pencegahan perlu diberi keutamaan bagi memastikan kanak-kanak tidak terdedah kepada kandungan atau pengaruh yang boleh menjejaskan perkembangan emosi, tingkah laku dan keselamatan mereka.

“Tindakan pencegahan perlu diberi keutamaan bagi memastikan kanak-kanak tidak terdedah kepada kandungan atau pengaruh yang boleh menjejaskan perkembangan emosi, tingkah laku dan keselamatan mereka,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan perasmian Program Insentif Digital Media Usahawanita Muda (Usahanita Digital) 2026 di Dewan Jubli Perak, bangunan pentadbiran negeri, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kejadian pelajar perempuan Tingkatan Tiga cedera ditikam di sebuah sekolah menengah di Banting minggu lalu.

Dalam pada itu, Anfaal berkata pelajar perempuan yang cedera dalam insiden tikaman di sebuah sekolah menengah di Banting itu dijangka dibenarkan keluar dari hospital seawal Rabu.

Menurutnya, perkara itu dimaklumkan oleh doktor ketika beliau menziarahi mangsa di hospital Khamis lalu, selain mangsa kini dilaporkan stabil dan masih dalam proses pemulihan.

“Setakat saya menziarahi mangsa pada Khamis lalu, doktor memaklumkan dia memerlukan kira-kira seminggu sebelum dibenarkan keluar dari hospital dan berkemungkinan pada Rabu.

“Kita perlu menangani kes ini dengan penuh ihsan terhadap kedua-dua pihak sama ada mangsa mahupun suspek kerana mereka masih pelajar,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga akan terus bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor bagi memperkukuh usaha pencegahan menerusi Program Advokasi Lindung Kasih.

Katanya, antara fokus yang diberikan ialah memperkasa program pembimbing rakan sebaya bagi mengenal pasti lebih awal tanda-tanda buli, serta pelajar yang berdepan masalah kesihatan mental untuk dirujuk kepada kaunselor sekolah.

“Kita mahu mencegah, bukannya bertindak selepas berlaku insiden yang meragut nyawa atau menyebabkan kecederaan. Sebab itu program advokasi akan diteruskan secara berterusan bersama semua agensi berkaitan,” katanya.

Dalam kejadian 6 Julai lalu, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan pada paru-paru serta kira-kira 16 luka tikaman di beberapa bahagian badan sebelum dikejarkan ke Hospital Banting untuk menerima rawatan lanjut.

Susulan itu, remaja berusia 15 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok Jumaat lalu, atas pertuduhan cuba membunuh rakannya. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar remaja perempuan itu menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.