SHAH ALAM, 14 JULAI: Program Business Linkages and Advancement Programme (BLAST) yang dilancarkan hari ini bertujuan menghubungkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dengan pelabur utama bagi memperkukuh rantaian bekalan serta meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam ekosistem pelaburan Selangor.
EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han berkata program itu merupakan kerjasama antara Invest Selangor Berhad dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC).
Menurutnya, inisiatif berkenaan membuka peluang kepada PKS tempatan membekalkan produk dan perkhidmatan kepada syarikat multinasional serta syarikat tempatan yang telah melabur di Selangor.
"Matlamat utama BLAST adalah membangunkan PKS tempatan. Pendekatannya sangat mudah.
"Kami telah mengenal pasti beberapa pelabur utama di Selangor yang akan menyokong PKS tempatan dengan menggunakan perkhidmatan atau membeli produk mereka," katanya selepas melancarkan BLAST di Hotel Concorde, hari ini.
Sze Han berkata fasa pertama BLAST melibatkan empat pelabur utama iaitu Bridge Data Centres, UMW Aerospace, Base Maintenance Malaysia dan Malaysia Rail Link (MRL) bersama 12 PKS tempatan.
Beliau berkata syarikat-syarikat berkenaan sedang melaksanakan pelbagai projek berskala besar di Selangor yang memerlukan pelbagai produk dan perkhidmatan, sekali gus membuka peluang kepada PKS untuk menyertai rantaian bekalan yang lebih luas.
"Program ini menyasarkan peningkatan hasil jualan PKS yang menyertainya sebanyak lima peratus menjelang 2030.
"Ini hanyalah fasa pertama. Bersama MTDC, kami akan menganjurkan lebih banyak program seperti ini pada masa akan datang," katanya.
Beliau berkata MTDC turut akan membimbing PKS memenuhi piawaian antarabangsa supaya mereka bukan sahaja mampu membekalkan produk dan perkhidmatan kepada pelabur utama yang terlibat dalam BLAST, malah kepada syarikat lain dalam industri yang sama.
Sze Han berkata walaupun usaha menarik pelaburan bernilai berbilion ringgit kekal menjadi keutamaan, manfaat pelaburan tersebut perlu turut dirasai oleh syarikat tempatan.
"Bagi kami, yang lebih penting ialah bagaimana pelaburan ini dapat membantu PKS tempatan memperoleh lebih banyak tempahan dan projek. Itulah antara hala tuju pelaburan yang ingin kita tarik ke Selangor," katanya.







