SHAH ALAM, 17 JULAI: Program Business Linkages and Advancement Programme (BLAST) yang diperkenalkan Kerajaan Selangor dijangka membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapatkan peluang perniagaan baharu di samping meningkatkan daya saing mereka.
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia, Chin Chee Seong berkata inisiatif itu tepat pada masanya bagi mengukuhkan jaringan antara PKS tempatan dengan syarikat multinasional (MNC), syarikat pertengahan serta pelabur utama, selain membantu mereka menyertai rantaian bekalan global bernilai tinggi.
Beliau berkata dengan komitmen dan sokongan padu Kerajaan Negeri, BLAST berpotensi membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada PKS tempatan.
“Jika dilaksanakan dengan berkesan, BLAST bukan sahaja membantu PKS memperoleh kontrak baharu, malah meningkatkan daya saing, keupayaan dan kelestarian perniagaan mereka untuk jangka panjang,” katanya kepada Media Selangor.
Chin berkata program itu turut berperanan merapatkan jurang antara PKS tempatan dan syarikat berskala besar dengan mengetengahkan keupayaan PKS serta menggalakkan penyetempatan rantaian bekalan.
Menurutnya, langkah itu penting dalam keadaan ekonomi yang mencabar ketika ini kerana masih banyak syarikat pelaburan langsung asing (FDI) mendapatkan produk, komponen dan penyelesaian daripada pembekal di negara asal mereka.

Pada pelancaran BLAST pada 14 Julai lalu, EXCO Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han, berkata kerjasama antara Invest Selangor Berhad dan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) bertujuan menghubungkan PKS dengan pelabur utama bagi memperkukuh rantaian bekalan.
Beliau berkata inisiatif itu membolehkan PKS tempatan membekalkan produk dan perkhidmatan kepada syarikat multinasional serta syarikat tempatan yang melabur di Selangor. Fasa pertama melibatkan empat pelabur utama iaitu Bridge Data Centres, UMW Aerospace, Base Maintenance Malaysia dan Malaysia Rail Link (MRL), bersama 12 PKS tempatan.
Memperkasa PKS
Mengulas lanjut, Chin berkata BLAST tidak seharusnya terhad sebagai program padanan perniagaan semata-mata, sebaliknya perlu diperluaskan menjadi ekosistem pembangunan yang menyeluruh untuk membantu PKS berkembang.
Beliau mencadangkan lebih banyak bantuan pembiayaan disediakan bagi membolehkan PKS memperoleh pensijilan antarabangsa, mengguna pakai automasi dan teknologi digital, melaksanakan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), serta meningkatkan produktiviti.
Selain itu, beliau menyarankan program tersebut diperluaskan ke peringkat nasional menerusi kerjasama dengan agensi Persekutuan dan kerajaan negeri lain, di samping mewujudkan program bimbingan berstruktur oleh syarikat multinasional serta peneraju industri bagi membantu PKS memahami keperluan perolehan dan memenuhi standard ditetapkan.
“Kami juga berharap lebih banyak syarikat multinasional dan pelabur utama meningkatkan perolehan daripada pembekal tempatan apabila terdapat syarikat Malaysia yang memenuhi keperluan. Langkah ini akan mengukuhkan rantaian bekalan domestik dan mewujudkan peluang perniagaan yang lebih mampan kepada syarikat tempatan,” katanya.
Chin berkata cabaran terbesar PKS untuk menyertai program seperti BLAST bukanlah kekurangan keupayaan, sebaliknya tahap kesiapsiagaan mereka.
Menurutnya, walaupun banyak PKS menawarkan produk berkualiti dan penyelesaian inovatif, mereka masih berdepan kesukaran memenuhi syarat ketat yang ditetapkan syarikat multinasional seperti pensijilan kualiti antarabangsa, pematuhan ESG, pendigitalan, keselamatan siber, kebolehkesanan, tadbir urus, pelaporan kewangan dan pengurusan rantaian bekalan.
Beliau berkata, kekangan kewangan untuk menaik taraf operasi, mendapatkan pensijilan serta melaksanakan teknologi moden turut menjadi halangan, selain masih terdapat PKS yang kurang memahami proses perolehan dan syarat kelayakan pembekal yang diamalkan syarikat besar.
“Selain membangunkan keupayaan, PKS juga memerlukan bimbingan dan khidmat mentor yang praktikal bagi merapatkan jurang antara keupayaan semasa mereka dengan jangkaan pembeli multinasional,” katanya.







