MPAJ baik pulih jejantas LRT Ampang, siap hujung Julai

14 Jul 2026, 2:06 AM
MPAJ baik pulih jejantas LRT Ampang, siap hujung Julai

SHAH ALAM, 14 JULAI: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan melaksanakan kerja baik pulih jejantas di Jalan Ampang berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang dengan kadar segera dan dijangka siap pada penghujung bulan ini.

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan pihaknya telah menerima aduan mengenai kerosakan pada jejantas berkenaan sebelum Jabatan Kejuruteraan menjalankan pemeriksaan di lokasi bagi menilai keadaan sebenar.

Menurut MPAJ, kerja pembaikan yang akan dilaksanakan meliputi bumbung serta lantai jejantas yang mengalami kerosakan, lapor Harian Metro.

"Kerja pembaikan dijangka siap pada penghujung Julai 2026 dengan anggaran kos hampir RM50,000.

"MPAJ sentiasa berusaha menyediakan persekitaran yang kondusif menerusi pelbagai infrastruktur dan kemudahan awam demi manfaat masyarakat di Ampang," menurut kenyataan itu.

Jejantas berkenaan dilaporkan mengalami kerosakan pada bahagian jubin dan lantai simen sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan pengguna, khususnya kanak-kanak serta warga emas.

Selain itu, bumbung polikarbonat yang bocor menyebabkan air hujan bertakung di laluan pejalan kaki, sekali gus meningkatkan risiko permukaan menjadi licin dan membahayakan pengguna.

Dalam pada itu, MPAJ mengingatkan orang ramai supaya menggunakan kemudahan awam secara berhemah dan bertanggungjawab bagi mengelakkan kerosakan yang memerlukan kos serta tempoh pembaikan.

Orang ramai yang ingin mengemukakan aduan boleh menghubungi WhatsApp Aduan MPAJ di talian 019-266 8100, Hotline 03-4296 8100 atau melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SPAB) MPAJ di https://mpaj.spab.gov.my.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.