SUNGAI BULOH, 13 JULAI: Pakatan Harapan (HARAPAN) dijangka mengadakan sesi post-mortem esok bagi meneliti dapatan daripada keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum merangka penambahbaikan strategi menghadapi pilihan raya akan datang.
Pengarah Pilihan Raya HARAPAN Dato' Seri Amirudin Shari berkata proses penilaian itu penting bagi mengenal pasti faktor yang mempengaruhi keputusan pilihan raya sekali gus membolehkan gabungan berkenaan menyemak semula pendekatan serta memperkukuh strategi sedia ada.
"Kita belum buat post-mortem lagi. Saya fikir kita akan buat post-mortem dalam beberapa hari ini, mungkin esok.
"Selepas post-mortem, kita akan melihat beberapa dapatan penting berkaitan keputusan pilihan raya. Sudah tentu kita akan menyemak semula beberapa pendekatan dan memperkukuh strategi supaya kita dapat mencapai keputusan yang lebih baik pada pilihan raya akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pecah tanah kampus baharu Sekolah Menengah Akademik Kuen Cheng di Bandar Seri Coalfields, di sini, hari ini.
Mengulas kesan keputusan PRN Johor terhadap HARAPAN serta persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Amirudin berkata keputusan itu wajar dijadikan peringatan kepada seluruh kepimpinan dan jentera parti untuk terus memperkukuh kerjasama serta meningkatkan gerak kerja.
"Ia menjadi peringatan kepada kita. Sudah tentu kita perlu bekerja lebih keras dan semua pihak perlu bekerja bersama bagi memastikan kita dapat memenangi serta mempertahankan Negeri Sembilan," katanya.








