SABAK BERNAM, 14 JUN: Jelajah Larian Obor Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 dan PARA SUKMA 2026 terus mendapat sambutan menggalakkan apabila kira-kira 1,500 peserta menyertai program yang berlangsung di Dataran Bagan Terap di sini, hari ini.
EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) keempat yang menjadi lokasi penganjuran siri jelajah berkenaan menjelang temasya SUKMA 2026.
Menurutnya, penyertaan memberangsangkan daripada pelbagai lapisan masyarakat membuktikan keterujaan rakyat Selangor untuk menyambut temasya sukan terbesar negara yang bakal berlangsung pada Ogos depan.
“Program ini melibatkan semua daerah dan PBT di Selangor sebagai usaha Kerajaan Negeri mendekati dan menyantuni masyarakat di peringkat akar umbi selain menyemarakkan semangat sebagai tuan rumah SUKMA 2026.
“Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat memberangsangkan dan melebihi jangkaan hasil kerjasama erat antara semua pihak termasuk sekretariat SUKMA serta komitmen berterusan yang ditunjukkan sepanjang siri jelajah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan simbolik penyerahan obor daripada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Mohamad Hanafe Basri kepada Yang Dipertua MDSB, Awaluddin Zakaria.

Terdahulu, Mohd Najwan turut menyertai larian obor sejauh lima kilometer bersama para peserta.
Program itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA Selangor, Datuk Mohd Yazid Sairi dan EXCO Kemajuan Desa, Datuk Rizam Ismail.
Mengulas lanjut, Mohd Najwan berkata Sabak Bernam turut dipilih sebagai tuan rumah acara catur bagi temasya SUKMA 2026 dan berharap penganjuran itu dapat memberi limpahan manfaat kepada ekonomi setempat menerusi kehadiran atlet, pegawai serta penyokong dari seluruh negara.
Beliau turut mengajak orang ramai untuk terus memeriahkan siri Jelajah Larian Obor SUKMA 2026 yang akan diteruskan di lapan lagi PBT selepas ini.
Jelajah berkenaan membuka tirainya di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 10 Mei lalu sebagai sebahagian usaha menyemarakkan semangat kesukanan menjelang SUKMA dan PARA SUKMA 2026.
Selepas Sabak Bernam, jelajah akan diteruskan ke Hulu Selangor pada 21 Jun, diikuti Selayang, Ampang Jaya, Kajang, Subang Jaya, Petaling Jaya dan Kuala Langat sebelum melabuhkan tirainya di Sepang pada 9 Ogos.
SUKMA Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala PARA SUKMA 2026 akan diadakan pada 5 hingga 14 September.










