Jelajah larian obor SUKMA tarik lebih 1,300 peserta di Klang

24 Mei 2026, 3:18 AM
Jelajah larian obor SUKMA tarik lebih 1,300 peserta di Klang
Jelajah larian obor SUKMA tarik lebih 1,300 peserta di Klang
Jelajah larian obor SUKMA tarik lebih 1,300 peserta di Klang

KLANG, 24 MEI: Lebih 1,300 warga Klang menyertai Jelajah Larian Obor Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 dan PARA SUKMA 2026 di Laman Seni Safari di sini, hari ini.

Program siri kedua jelajah itu berlangsung meriah dengan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat sempena Hari Klang Tanpa Kenderaan yang diadakan serentak di bandar berkenaan.

Timbalan Datuk Bandar Klang, Mohd Zary Affendi Mod Arif berkata acara sejauh 3.2 kilometer (km) itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk sejak awal pagi.

“Alhamdulillah apa yang kita jangkakan, cuaca pun cantik. Ramai orang Klang sudi hadir dan sanggup hadir seawal pagi untuk memeriahkan acara pagi ini.

“Di Klang, kita istimewa sedikit kerana kita adakan sekali sempena Hari Klang Tanpa Kenderaan. Jadi hadirin itu lebih ramai untuk sertai larian, ini kelebihan kita,” katanya.

Timbalan Datuk Bandar Klang, Mohd Zary Affendi Mod Arif ditemui media selepas Larian Obor Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 dan PARA SUKMA 2026 di Laman Seni Safari Klang pada 24 Mei 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Terdahulu, Mohd Zary turut menyempurnakan penerimaan obor daripada rombongan larian Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang diketuai Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Safriah Md Azhar.

Hadir sama Ketua Kontinjen SUKMA Selangor, Abbas Salimi Azmi dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor (MSN), Mohamad Nizam Marjugi.

Pada 10 Mei lalu, program Jelajah Larian Obor SUKMA ke-22 dan PARA SUKMA 2026 membuka tirai di Dataran Kemerdekaan Shah Alam bagi menyemarakkan semangat kesukanan menjelang temasya sukan itu pada Ogos depan.

Selepas Shah Alam dan Klang, jelajah akan diteruskan ke Kuala Selangor pada 6 Jun ini, diikuti Sabak Bernam, Hulu Selangor, Selayang, Ampang Jaya, Kajang, Subang Jaya, Petaling Jaya dan Kuala Langat sebelum berakhir di Sepang pada 9 Ogos ini.

SUKMA Selangor 2026 bagi edisi ke-22 dijadual berlangsung bermula 15 hingga 24 Ogos 2026, manakala acara PARA SUKMA pula akan diadakan dari 5 hingga 14 September 2026.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.