SUKMA 2026: Kebajikan atlet, fasiliti jadi keutamaan Selangor

13 Ogos 2026, 5:00 AM
SUKMA 2026: Kebajikan atlet, fasiliti jadi keutamaan Selangor

SHAH ALAM, 13 Ogos: Kerinduan hampir tiga dekad berakhir apabila Selangor Kembali menjadi gelanggang persaingan Sukan Malaysia (SUKMA).

Memegang rekod sembilan kali juara keseluruhan, edisi ke-22 ini bukan lagi sekadar medan memburu pingat tetapi pentas pembuktian untuk meneruskan dominasi dan tradisi kejuaraan yang dipahat sejak puluhan tahun.

Mengulas reputasi tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA Selangor, Dato' Mohd Yazid Sairi menegaskan bahawa rekod berkenaan meletakkan Selangor pada kedudukan tersendiri sebagai 'Home of Champions'.

Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA Selangor, Dato' Mohd Yazid Sairi berkata pencapaian itu meletakkan Selangor sebagai 'Home of Champions' dalam sejarah SUKMA.

Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA Selangor Dato’ Mohd Yazid Sairi ditemu bual mengenai persiapan penganjuran temasya berkenaan di Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 11 Jun 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

"Kenapa ia begitu signifikan ataupun istimewa sebenarnya? Daripada 21 kali penganjuran SUKMA tersebut, Selangor sebenarnya sembilan kali menjadi juara.

"Selangor boleh dianggap sebagai 'Home of Champions' kepada SUKMA dan tiada negeri lain yang berjaya menjuarai SUKMA lebih banyak daripada Selangor," katanya dokumentari terbitan Media Selangor bertajuk 'Menuju SUKMA Selangor 2026'.

Namun, legasi besar itu tidak bermakna Selangor memilih penganjuran yang mewah atau berlebihan, sebaliknya penjimatan Kerajaan Negeri diusahakan bagi memberi keutamaan yang memberi manfaat kepada atlet dan pertandingan.

"Satu perkara yang saya nak rakyat Selangor ingat adalah kita anjurkan SUKMA ini, kita nak pastikan kemeriahan dalam kesederhanaan," ujarnya.

Bagi beliau, kemeriahan sesebuah temasya bukan diukur melalui kehebatan majlis pembukaan atau persembahan berskala besar, sebaliknya lahir daripada semangat kesukanan, sokongan rakyat serta pengalaman yang ditinggalkan kepada atlet dan kontinjen yang bertanding.

Atlet dan pertandingan jadi keutamaan

Di sebalik konsep kemeriahan dalam kesederhanaan, fokus Kerajaan Negeri kekal jelas iaitu mengutamakan perkara yang benar-benar memberi manfaat kepada atlet dan pertandingan.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi menegaskan kekangan peruntukan bukan alasan untuk mengurangkan kualiti penganjuran.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi ditemu bual oleh pihak media ketika meninjau latihan atlet renang Selangor di Kompleks 3k, Subang Jaya pada 5 Jun 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Sebaliknya, Kerajaan Negeri menyusun semula keutamaan perbelanjaan supaya setiap ringgit yang dibelanjakan benar-benar memberi impak secara langsung kepada temasya.

"Bila ada kekangan dari segi perbelanjaan, apa yang kita buat adalah kita kurangkan kos perbelanjaan yang melibatkan acara perasmian, malah kita tumpukan perbelanjaan sebenar SUKMA itu kepada penyelarasan ataupun penganjuran kejohanan sukan," katanya.

Jelasnya, langkah itu membolehkan kerajaan negeri memberi fokus kepada penyediaan fasiliti, logistik, pengurusan venue serta keperluan pertandingan bagi memastikan atlet dapat beraksi dalam persekitaran terbaik.

Penyokong Selangor bergambar bersama skuad bola keranjang 3x3 lelaki selepas aksi peringkat kumpulan SUKMA 2026 di Gelanggang Bola Keranjang Bukit Tinggi, Klang, pada 12 Ogos 2026. Foto FIRDAUS JOHARI/MEDIA SELANGOR

Najwan berkata, SUKMA juga tidak boleh dilihat sekadar medan memburu pingat, sebaliknya platform penting untuk membina barisan atlet yang bakal mengharumkan nama negara pada masa hadapan.

"SUKMA bukan sekadar kita berlumba untuk menjadi juara tetapi untuk kita melahirkan atlet-atlet yang berpotensi dan berkualiti untuk mewakili Malaysia," katanya.

Seluruh Selangor digerakkan jayakan SUKMA

Di sebalik atlet yang bakal menjadi tumpuan sepanjang temasya, terdapat ratusan individu yang bekerja tanpa henti memastikan setiap persiapan berjalan lancar sejak tamat SUKMA ke-21 di Sarawak pada 2024.

Bagi Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) Mohamad Nizam Marjugi, membentuk sebuah kontinjen yang mantap bukanlah usaha bermusim, sebaliknya proses berterusan yang memerlukan perancangan rapi dan kerjasama pelbagai pihak.

Mohamad Nizam Marjugi berkata hampir 80 peratus venue SUKMA Selangor 2026 milik pihak berkuasa tempatan yang dinaik taraf menerusi perbelanjaan hampir RM100 juta. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

"Persiapan kita dah mula lebih awal selepas SUKMA 2024 dan ada atlet-atlet yang memang masih boleh mewakili kita, kita teruskan latihan," jelasnya.

Katanya, atlet bukan sahaja menjalani latihan teknikal tetapi dibimbing menerusi pendekatan holistik merangkumi aspek sains sukan, pemakanan dan kecergasan.

Menurut beliau, kejayaan seseorang atlet tidak dibina dalam tempoh beberapa bulan, sebaliknya memerlukan pelaburan dan kesabaran yang panjang.

"Proses untuk membangunkan satu-satu atlet mengambil masa yang sangat panjang. Ada sukan-sukan yang mengambil masa bertahun untuk kita bentukkan atlet ini sehingga berjaya," katanya.

Usaha itu turut disokong Ahli Dewan Negeri (ADN), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pihak berkuasa tempatan (PBT), persatuan sukan dan pelbagai agensi negeri yang masing-masing memainkan peranan memastikan kebajikan serta persiapan atlet berada pada tahap terbaik.

EXCO Belia, Sukan Mohd Najwan Halimi bersama ADN Tanjong Sepat, Datuk Borhan Aman Shah hadir di majlis Larian Obor Sukma Selangor 2026 di Dataran Pantai Batu Laut, Kuala Langat pada 2 Ogos 2026. Foto KHAIRUL HELMY/MEDIA SELANGOR

Warisan lebih besar daripada pingat

Bagi Nizam, setiap kejayaan yang bakal diraih di gelanggang nanti adalah hasil pengorbanan ramai pihak yang bekerja di belakang tabir sejak lebih setahun lalu.

"Saya sangat berpuas hati dengan persediaan yang telah dijalankan oleh semua atlet saya, terima kasih kepada semua pegawai dan kakitangan, khususnya Bahagian Pembangunan Sukan dan Bahagian Sains Sukan.

"Sepanjang setahun ini kami hampir tiada Sabtu dan Ahad kerana dipenuhi latihan dan kejohanan. Kalau menang nanti, itulah kejayaan paling manis selepas segala penat lelah ini," katanya.

Najwan pula yakin legasi SUKMA akan terus hidup selain berjaya melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia.

"Kalau kata ada atlet yang berjaya nanti, dia ni hasilnya daripada platform SUKMA Selangor. Contohnya kita ada Farah Ann dan Shalin Zulkifli, semuanya bermula daripada SUKMA.

"Jadi sasaran kita supaya SUKMA ini diingati sebagai temasya yang mungkin boleh melahirkan atlet pertama negara yang memenangi pingat emas di Sukan Olimpik," katanya.

Pelancaran lagu, nama maskot dan larian obor Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 Selangor 2026. Foto Facebook MSN Selangor

Bagi Dato' Mohd Yazid pula, kejayaan sebenar SUKMA bukan hanya diukur melalui jumlah pingat yang diraih tetapi semangat kesukanan yang dihidupkan sebagai tuan rumah.

"SUKMA sudah lama tidak kembali ke Selangor. Jadi, marilah kita datang beramai-ramai memeriahkan festival sukan ini dan meraikan kehadiran rakan-rakan daripada negeri lain yang bertanding di sini.

"Inilah semangat kemeriahan dalam kesederhanaan."

Saksikan Dokumentari Khas dua siri SUKMA 2026!

Daripada percetusan strategi penganjuran hinggalah peluh keringat para atlet memburu gelaran juara, ikuti kisah di sebalik tabir pengorbanan, komitmen dan semangat waja kontinjen Selangor.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.