KUALA LANGAT, 13 JULAI: Murid sekolah agama di Selangor bakal mempunyai saluran lebih selamat dan sulit untuk melaporkan kes buli serta gangguan mental menerusi aplikasi chatbot agama digital yang sedang dibangunkan Kerajaan Negeri.
EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata chatbot itu bukan sahaja berfungsi sebagai pusat rujukan rasmi berkaitan agama Islam di Selangor, malah berpotensi memudahkan murid menyalurkan aduan terus kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
"Saya sebut tadi kalau kita ada saluran digital yang baharu ini, saya rasa ia boleh juga digunakan sebagai satu kaedah yang selamat untuk anak-anak kita di sekolah agama membuat laporan sekiranya berlaku isu-isu seperti buli ataupun gangguan mental.
"Mungkin nanti JAIS boleh terus menerima aduan tanpa ada sebarang masalah, dalam keadaan privasi pengadu itu pun kita jaga dengan baik. Mungkin saluran digital itu boleh digunakan untuk tujuan ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutupan Karnival Agensi Islam Selangor 2026 (KAI.Sel26) dan Jelajah Pengurusan Halal Selangor Siri Ketiga di Masjid Jamek As Solihin, Kanchong Darat di sini, semalam.

Mohammad Fahmi berkata pembangunan chatbot itu dijangka dilaksanakan tahun ini selepas proses perbincangan dimuktamadkan.
Menurutnya, platform berkenaan akan diperkenalkan dalam bentuk lebih interaktif bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat rasmi berkaitan pengurusan agama Islam di Selangor pada bila-bila masa.
"Perbincangan itu dah berlaku, kita sedang memutuskannya. Bajet pun dah tersedia, insya-Allah kita bangunkan tahun ini.
"Kita akan memperkenalkan dalam bentuk chatbot yang lebih interaktif. Jadi kalau orang nak tanya ustaz, senang. 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, ada ustaz digital yang akan merujuk kepada rujukan yang betul dan disahkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor," ujarnya.
Beliau berkata nama rasmi chatbot itu masih belum diputuskan, malah Kerajaan Negeri bercadang membuka ruang kepada orang ramai mengemukakan cadangan sebelum ia dilancarkan.
Selain menjadi rujukan agama, chatbot berkenaan turut menghimpunkan pelbagai maklumat berkaitan perkhidmatan JAIS, termasuk urusan kemasukan murid ke sekolah agama.
"Contohnya kalau ada keluarga yang baru berpindah ke kariah baharu dan ingin mengetahui sekolah agama yang mempunyai kekosongan atau bagaimana hendak membuat permohonan, semua maklumat itu boleh dimasukkan kerana memang berada di bawah JAIS," katanya.







