LRT3 jadi penghubung baharu destinasi pelancongan Selangor

13 Jul 2026, 6:00 AM
LRT3 jadi penghubung baharu destinasi pelancongan Selangor
LRT3 jadi penghubung baharu destinasi pelancongan Selangor
LRT3 jadi penghubung baharu destinasi pelancongan Selangor
LRT3 jadi penghubung baharu destinasi pelancongan Selangor

SHAH ALAM, 13 JULAI: Tourism Selangor memanfaatkan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT3) dengan mempromosikan tarikan warisan, budaya dan gaya hidup di sepanjang jajaran rel baharu itu, susulan peningkatan akses yang dijangka menggalakkan lebih ramai pengunjung meneroka destinasi di Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang.

Menurut agensi negeri itu, laluan baharu berkenaan membuka peluang untuk merancakkan sektor pelancongan dengan memudahkan pelancong tempatan dan antarabangsa mengunjungi lokasi tarikan utama menggunakan pengangkutan awam.

“Pembukaan LRT3 memberikan peluang besar untuk memperkukuh sektor pelancongan di seluruh Selangor menerusi peningkatan akses ke lokasi tarikan utama di Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang.

“Tourism Selangor mengalu-alukan peningkatan hubungan jaringan pengangkutan ini yang membolehkan pengunjung meneroka lebih banyak destinasi kebudayaan, warisan, kulinari dan gaya hidup menggunakan pengangkutan awam,” katanya dalam maklum balas terbaru kepada Media Selangor.

Tourism Selangor berkata pihaknya telah mempromosikan pelbagai laluan pelancongan dan warisan khususnya di Klang dan Shah Alam selain menjangkakan laluan rel baharu dapat memperkukuh usaha berkenaan.

“Dengan LRT3 kini menyediakan akses terus ke destinasi berkenaan, pengunjung dapat meneroka dengan lebih mudah tarikan seperti Little India Klang, Gedung Raja Abdullah, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah serta destinasi beli-belah utama termasuk 1 Utama dan AEON Shah Alam,” katanya.

Ia turut menyambut baik inisiatif perjalanan percuma LRT3 yang disifatkan memberi peluang kepada lebih ramai orang menikmati pengalaman mengunjungi tarikan negeri ini menerusi pengangkutan awam.

“Dengan menjadikan lokasi tarikan utama di Bandar Utama, Shah Alam dan Klang lebih mudah diakses, laluan baharu ini menggalakkan penerokaan lebih meluas terhadap produk budaya, warisan, kulinari dan gaya hidup negeri ini, selain menyokong perniagaan pelancongan tempatan serta komuniti setempat,” katanya.

Ia menambah, peningkatan hubungan rangkaian rel dijangka memberi manfaat kepada perniagaan dan pengusaha pelancongan berhampiran stesen LRT3.

Bagi menyokong peningkatan jumlah pengunjung yang dijangka berlaku, Tourism Selangor berkata penambahbaikan kesalinghubungan perjalanan pertama dan terakhir kekal menjadi keutamaan selepas pelancaran LRT3.

Katanya, Prasarana Malaysia Berhad selaku pengendali LRT3 telah menyediakan rangkaian sokongan melibatkan 40 bas pengantara menerusi 13 laluan yang meliputi 323 hentian bas, selain disokong perkhidmatan Rapid On-Demand di 20 zon.

Ia bagi menghubungkan penumpang ke lokasi tarikan berhampiran, pusat komersial dan kawasan perumahan yang berada di luar jarak berjalan kaki.

Selain itu, bagi menambah baik sistem berkenaan katanta, kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengambil langkah segera untuk meningkatkan akses pejalan kaki di sekitar beberapa stesen termasuk Stadium Shah Alam, Dato’ Menteri dan Kerjaya susulan maklum balas orang ramai.

Antara penambahbaikan yang sedang dilaksanakan ialah penyediaan laluan pejalan kaki berbumbung yang menghubungkan Stesen Dato’ Menteri dengan Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Kompleks PKNS serta kawasan komersial berhampiran bagi menyediakan akses lebih selamat dan selesa kepada pengguna serta pengunjung.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.