SHAH ALAM, 11 JULAI: Pakatan Harapan (HARAPAN) akan menjalankan tanggungjawab sebagai pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dengan penuh wibawa bagi memastikan segala dasar pentadbiran negeri itu dipantau secara konsisten.
Pengarah Pilihan Raya HARAPAN, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tugas itu perlu digalas dengan sempurna agar setiap lapisan masyarakat di Johor dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik selepas ini.
“HARAPAN akan menjalankan tanggungjawab dalam DUN nanti dengan penuh wibawa dan berintegriti untuk menawarkan solusi kepada isu asas yang masih belum diselesaikan.
“HARAPAN komited menunaikan tanggungjawab sebagai pembangkang supaya segala dasar pentadbiran Johor dapat dipantau secara konsisten agar kualiti hidup dapat dinikmati setiap lapisan rakyat dan bukan hanya terhad di sesetangah kawasan sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Informasi HARAPAN di Johor Bahru, Johor, malam tadi. Hadir sama, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Samad.
Mengulas keputusan awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Amirudin berkata keputusan itu menjadi isyarat kepada HARAPAN untuk memperkukuh gerak kerja menjelang PRN Negeri Sembilan dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Beliau yang juga Naib Presiden PKR berkata, PRN Johor juga membuktikan HARAPAN dan Barisan Nasional (BN) merupakan dua gabungan parti politik terbesar di Johor, sekali gus memberikan saingan sengit.
“PRN ini juga membuktikan PH dan BN adalah dua gabungan politik terbesar yang telah memberi saingan dan telah diberi keputusan oleh rakyat yang wajar kita hormati, sesuai dengan semangat demokrasi,” katanya.
PRN Johor yang mempertaruhkan 56 kerusi DUN, memerlukan sekurang-kurangnya kemenangan 29 kerusi untuk mendapatkan majoriti mudah bagi membentuk pentadbiran kerajaan negeri.







