HARAPAN umum calon PRN Negeri Sembilan Selasa ini

11 Jul 2026, 3:36 PM
HARAPAN umum calon PRN Negeri Sembilan Selasa ini

SHAH ALAM, 11 JULAI: Pakatan Harapan (HARAPAN) yakin mampu mengekalkan prestasi cemerlang di Negeri Sembilan pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini berbekalkan rekod pencapaian baik sepanjang mentadbir negeri itu.

Pengarah Pilihan Raya HARAPAN, Dato' Seri Amirudin Shari berkata keyakinan tersebut turut disandarkan kepada kepimpinan penyandang menteri besar, Dato' Seri Aminuddin Harun, yang diyakini mampu meneruskan kecemerlangan gabungan itu.

"Kita mempunyai rekod pencapaian yang baik di Negeri Sembilan dan yakin Aminuddin akan meneruskan keupayaan itu.

"Esok kita akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan calon PKR, manakala pada 14 Julai pula senarai calon HARAPAN bagi PRN Negeri Sembilan akan diumumkan," katanya pada sidang media di Pusat Informasi HARAPAN di Johor Bahru, Johor, malam tadi.

Turut hadir Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Samad, dan Naib Presiden AMANAH, Dr Mohd Hatta Ramli.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Julai sebagai hari penamaan calon, diikuti pengundian awal pada 28 Julai dan hari pengundian pada 1 Ogos.

Pada PRN lalu, HARAPAN dan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri selepas menguasai 31 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). HARAPAN memenangi 17 kerusi, BN (14) dan Perikatan Nasional (PN) lima kerusi.

Bagaimanapun, pada PRN kali ini HARAPAN dan BN akan bertanding secara berasingan selepas kedua-dua gabungan mengumumkan hasrat untuk meletakkan calon di semua 36 kerusi DUN.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.