Pekerja maut dalam kebakaran dandang kilang besi

11 Jul 2026, 11:12 AM
Pekerja maut dalam kebakaran dandang kilang besi

SHAH ALAM, 11 JULAI: Seorang pekerja kilang warga asing maut dalam kebakaran melibatkan dandang di sebuah kilang pemprosesan besi di Kapar, Klang dekat sini pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 8.18 pagi sebelum menggerakkan anggota ke lokasi.

“Kebakaran melibatkan dandang kilang penyetiman besi berkeluasan 20 x 20 kaki persegi dan api telah dipadamkan oleh pekerja kilang sebelum anggota tiba di lokasi.

“Mangsa berusia 30 tahun ditemukan dalam keadaan melecur pada seluruh badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ashrul Riezal berkata operasi melibatkan kekuatan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapar selain punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.