SHAH ALAM, 24 OGOS: Seorang lelaki melecur bahagian badan dan kaki dalam kebakaran tiga rumah setinggan di Jalan Ismail Ghani, Kampung Kasipillay, Sentul, awal pagi ini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu melalui talian NG999 pada jam 1.15 pagi.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Kuala Lumpur, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pasukan operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul turut dibantu anggota BBP Hang Tuah dan BBP Gombak Selatan dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Operasi membabitkan tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Water Tanker dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan keseluruhan 28 anggota pelbagai pangkat.
"Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, didapati kebakaran membabitkan tiga rumah setinggan separuh kekal iaitu bangunan kelas C dengan keluasan keseluruhan kira-kira 4,872 kaki persegi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kebakaran itu mengakibatkan kemusnahan 100 peratus terhadap struktur yang terbabit.
Katanya, seorang lelaki berusia 26 tahun mengalami kecederaan melecur pada bahagian badan dan kaki.
"Mangsa dihantar menaiki EMRS BBP Sentul sebelum diserahkan kepada pihak Hospital Kuala Lumpur di Zon Merah untuk rawatan lanjut," katanya.
Ahmad Mukhlis berkata, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya, manakala punca kejadian masih dalam siasatan Unit Forensik.








