JOHOR BAHRU, 23 JULAI: Enam individu cedera dengan dua daripadanya melecur sebanyak 50 dan 10 peratus dalam kebakaran sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Sawit Baru, Kulai, hari ini.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai PBK I Irwin Annur berkata pihaknya menerima panggilan kejadian pada 1.59 tengah hari dan 13 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai serta BBP Bandar Baru Kulai digegaskan ke lokasi kejadian.
Beliau berkata kebakaran di kilang menjalankan proses rawatan permukaan logam dan aluminium menggunakan kaedah elektrokimia itu menjejaskan dua mesin penggilap dengan setiap satunya dianggar musnah sebanyak 80 peratus.
"Kesan kebakaran turut menyebabkan letupan pada mesin berkenaan serta sebahagian struktur bangunan kilang runtuh dengan anggaran 50 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata tindakan pemadaman awal dilakukan pasukan Emergency Response Team (ERT) kilang sebelum pasukan bomba kemudiannya melaksanakan pemadaman sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Irwin berkata mangsa yang melecur melibatkan dua lelaki berusia lingkungan 30-an manakala yang cedera terdiri daripada lelaki berusia lingkungan 40-an, seorang lelaki 20-an serta dua wanita 20-an.
"Seorang mangsa dibawa ke hospital oleh orang awam manakala lima mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Kulai,” katanya menambah operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 3.09 petang.
-- BERNAMA







