KPWKM perkasa khidmat kaunseling rumah tangga, tangani peningkatan kes cerai

5 Okt 2026, 2:06 PM
KPWKM perkasa khidmat kaunseling rumah tangga, tangani peningkatan kes cerai

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Khidmat kaunseling dan pendamaian rumah tangga terus diperkukuh bagi membantu pasangan menangani konflik susulan peningkatan perceraian di negara ini yang merekodkan lebih 60,000 kes tahun lepas.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata usaha itu dilaksanakan menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) antaranya melalui Badan Pendamai Keluarga yang diwujudkan dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara.

Badan Pendamai Keluarga menyediakan perkhidmatan kaunseling keluarga dan tribunal perkahwinan kepada pasangan yang berdepan masalah rumah tangga.

Nancy berkata sejak mula beroperasi pada Oktober 2024, Badan Pendamai Keluarga LPPKN telah mengendalikan 236 kes pasangan setakat Ogos tahun ini.

Daripada jumlah itu, 31 pasangan atau 13.1 peratus berjaya didamaikan manakala 24 lagi memilih untuk meneruskan sesi kaunseling bersama dengan LPPKN,” katannya ketika berucap pada majlis perasmian Forum Kebahagiaan Rumah Tangga di sini hari ini.

Beliau berkata usaha memperkukuh khidmat berkenaan penting susulan 60,457 kes perceraian direkodkan pada 2024, meningkat 4.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Nancy berkata konflik rumah tangga bukan sahaja memberi kesan kepada pasangan malah boleh menjejaskan kesejahteraan emosi anak-anak.

“Tinjauan Kesihatan Remaja Kebangsaan 2022 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, yang melibatkan lebih 33,000 pelajar sekolah menengah, mendapati kira-kira satu daripada empat remaja mengalami kemurungan manakala satu daripada enam berasa kesunyian,” katanya.

Beliau berkata kes keganasan rumah tangga turut menunjukkan peningkatan apabila Polis Diraja Malaysia merekodkan 7,391 kes tahun lepas berbanding 5,507 kes pada 2023.

Sehubungan itu, Nancy berkata KPWKM menerusi Jabatan Pembangunan Wanita giat melaksanakan kempen “Hentikan Keganasan Rumah Tangga” bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu berkenaan.

Forum Kebahagiaan Rumah Tangga, yang diadakan sempena Bulan Kaunseling 2026 dan disertai 1,600 orang dari seluruh negara, menyaksikan penganjuran 100 sesi Kelompok Psikopendidikan Keluarga yang dikendalikan 100 kaunselor profesional berdaftar di bawah Lembaga Kaunselor Malaysia sekali gus mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.