ALOR SETAR, 23 SEPT: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terus bekerjasama dengan Kementerian Luar dalam menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada keluarga 55 rakyat Malaysia yang masih hilang susulan bencana banjir kilat dan tanah runtuh di Nepal, 26 Ogos lepas.
Ketua Pengarahnya Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata perkhidmatan itu bertujuan membantu keluarga terbabit menguruskan tekanan emosi serta menyediakan ruang untuk mereka meluahkan perasaan ketika berdepan situasi berkenaan.
Beliau berkata kebanyakan keluarga terbabit menunjukkan perkembangan positif selepas menerima khidmat kaunseling JKM, walaupun pada peringkat awal ada antara mereka yang sukar berkongsi perasaan kerana dalam keadaan tertekan.
“Kita faham apabila berada dalam keadaan sedemikian, pada permulaan mungkin agak sukar untuk mereka bercakap dan meluahkan perasaan.
“Mereka perlu diberikan sedikit ruang dari segi emosi untuk bercerita dan sebagainya. Tetapi selepas tempoh tertentu apabila kita dihubungi oleh Wisma Putra, nampaknya keadaan semakin hari semakin beransur baik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Wonderful Life: Program Kesedaran Keganasan Rumah Tangga JKM 2026 di sini hari ini.
Che Murad Sayang berkata bantuan dan sokongan yang diberikan oleh Wisma Putra dan JKM sedikit sebanyak membantu keluarga terbabit menerima keadaan yang berlaku.
Beliau berkata keluarga berkenaan bagaimanapun masih mengharapkan bantuan berterusan daripada kerajaan, Wisma Putra dan JKM bagi membantu mereka menghadapi situasi itu serta meneruskan kehidupan.
Dalam perkembangan lain, Che Murad Sayang berkata masih terdapat mangsa keganasan rumah tangga yang tidak bersedia membuat laporan kepada pihak berkuasa kerana menganggap perkara itu sebagai sesuatu yang memalukan.
Beliau berkata terdapat juga persepsi dalam masyarakat agar tidak mencampuri urusan rumah tangga orang lain, menyebabkan sebahagian mangsa memilih untuk berdiam diri dan tidak mendapatkan bantuan.
“Walaupun kita melihat angka ini kecil, saya yakin dan percaya ramai lagi dalam kalangan mereka yang terlibat dalam isu keganasan rumah tangga kemungkinan tidak bersedia untuk melaporkan kepada pihak berwajib,” katanya.
Beliau berkata sebanyak 3,646 kes keganasan rumah tangga dicatatkan di seluruh negara dari 2002 hingga Ogos 2026, dengan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 875 kes, diikuti Pahang (437), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (413) dan Kedah (249).
Che Murad Sayang berkata keganasan rumah tangga bukan hanya melibatkan penderaan fizikal, malah merangkumi tekanan emosi dan psikologi, ugutan serta kawalan kewangan yang boleh memberi kesan kepada mangsa dan anak-anak.







