Mana-mana pasangan yang berdepan konflik rumah tangga disaran mendapatkan bantuan kaunseling lebih awal bagi mengelakkan masalah berlarutan sehingga menjejaskan hubungan.
Menurut penyelaras Pusat Kaunseling Selangor (PKS), khidmat sokongan boleh menjadi ruang mengenal pasti punca dan mencari penyelesaian, bukan hanya ketika di ambang perpisahan.
Menurut Faridah Abdul Jalil @ Abas, perselisihan yang dianggap kecil boleh menjadi serius apabila berlaku berulang kali tanpa jalan keluar, sekali gus mewujudkan jurang hubungan.
“Jangan menunggu sehingga konflik menjadi terlalu besar sebelum mula memperbaiki hubungan.
Kadangkala apabila berlaku konflik, kita terlalu sibuk mempertahankan pandangan sendiri hingga tidak lagi benar-benar mendengar apa yang cuba disampaikan pasangan,” katanya kepada Media Selangor.

Berdasarkan rekod PKS, seramai 187 pelanggan mendapatkan perkhidmatan bagi kategori isu perkahwinan, membabitkan 360 sesi kaunseling sejak 2025 sehingga September tahun ini.
Bagi isu kekeluargaan, seramai 145 klien direkod membabitkan 245 sesi. Kategori perkahwinan membabitkan suami dan isteri, sementara masalah berkaitan kekeluargaan ialah seperti campur tangan keluarga mertua.
Faridah yang juga pegawai psikologi berkata komunikasi dalam rumah tangga bukan sekadar bercakap, sebaliknya memerlukan pasangan belajar mendengar untuk memahami satu sama lain.
Beliau menjelaskan pasangan juga perlu bersikap bertolak ansur kerana masing-masing datang dari latar belakang, pengalaman, personaliti dan cara berfikir yang berbeza-beza.
“Perkahwinan bukan proses menjadikan dua orang sama, tetapi proses belajar hidup bersama dengan perbezaan tersebut. Pasangan seharusnya saling melengkapi, bukan saling menuntut kesempurnaan,” tambahnya.
Menurut Faridah, PKS menyediakan perkhidmatan kaunseling percuma kepada masyarakat termasuk individu atau pasangan yang berdepan isu perkahwinan dan kekeluargaan.
Katanya, perkhidmatan itu terbuka kepada mereka yang mahu mendapatkan bantuan lebih awal untuk memahami masalah, mengurus emosi dan meningkatkan kefungsian hubungan.
Selain sesi kaunseling formal, beliau menjelaskan masyarakat yang memerlukan sokongan awal juga boleh menghubungi Talian SEHAT kendalian petugas PKS.
“PKS tidak berperanan menentukan siapa yang betul atau salah dalam sesuatu hubungan, sebaliknya menyediakan ruang yang selamat, profesional dan tidak menghakimi.
“Melalui kaunseling, pasangan boleh berhenti seketika daripada konflik, memahami apa sebenarnya berlaku dan melihat semula hubungan daripada perspektif lebih objektif,” katanya.









